JASAMU DIKENANG

HAJI WAN IDRIS BIN HAJI WAN TAIB 
(1930/1348H – 12 Mac 2003/9 Muharram, 1424H) 1

Oleh: Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah

Seorang tokoh yang disegani dan pejuang masyarakat. Terkenal sebagai seorang yang amanah dan jujur dalam urusannya dengan masyarakat. Beliau juga gigih dalam menuntut ilmu dan berusaha mengembangkan pendidikan anak bangsa melalui sekolah. Melalui politik beliau berusaha dan bergiat menyedarkan rakyat untuk kemerdekaan dan pembangunan masyarakat kampung. 

Foto: Wan Idris (tengah) dan adiknya,Wan Muhamad Tahir (kanan, bersongkok)
Gambar dirakam tahun 1950an

Dalam memenuhi misi perjuangannya, beliau bukan sahaja mengorbankan tenaga tetapi juga harta bendanya. Inilah tokoh unik dalam keluarga keturunan Wan Nuh yang bernama Wan Idris b. Wan Taib b. Wan Abdullah b. Wan Nuh. 
Kelahirannya 

Haji Wan Idris bin Haji Wan Taib dilahirkan pada tahun 1930M /1348H di Kampung Bharu, Pasir Pekan, Kelantan oleh ibunya, Wan Mariam binti Wan Abu Bakar bin Wan Uthman. Moyang ibunya berasal dari Pattani yang dikenali sebagai Tok Chir. Ibu dan bapanya adalah sepupu kerana nenek sebelah ibunya iaitu Wan Halimah bt. Wan Nuh adalah adik kepada datuk sebelah bapanya iaitu Wan Abdullah Wan Nuh. Bapanya Wan Taib bin Wan Abdullah mewarisi perniagaan keluarga melalui ayahnya, Wan Abdullah bin Wan Nuh yang merupakan seorang peniaga dan pedagang. Keluarganya juga pemilik ladang (estet) getah di 
Kuala Nal. 


Foto: Wan Taib bin Wan Abdullah (Bapa Wan Idris)


Pendidikannya

Haji Wan Idris mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan dan kemudian menyambung pengajian ke sekolah yang diasaskan oleh bapa saudaranya, 
Haji Wan Adam iaitu Sekolah Agama Falahiah. Selepas itu sekitar tahun 1941-42 ketika berumur 13 tahun beliau merantau ke Singapura untuk berguru dengan Kiyai Sheikh Fadhullah Suhaimi (rujuk: http://bahrusshofa.blogspot.com/anak Kiyai


Agung Sheikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi, di Madrasah al-Ma’rif al-Islamiyah di Ipoh Road, Singapore.

Sheikh Fadhullah Suhaimi yang mengajar ilmu tafsir dan fiqh di madrasah itu adalah antara tokoh yang mengasaskan PAS pada tahun 1951 dan turut berjuang menentang British. Haji Wan Idris tinggal di asrama madrasah tersebut dan akhirnya menjadi begitu rapat dengan anak-anak Pak Kiyai gurunya itu termasuklah dengan Ustaz Taha Suhaimi.

Ustaz Taha adalah pengasaskan PAS Singapura. Haji Wan Idris berada di Singapura ketika meletusnya Perang Jepun. Ketika di Singapura itu jugalah beliau berkesempatan menziarahi pusara moyangnya Wan Nuh.





Ustaz Taha Suhaimi, kenalan rapat Allahyarham Haji Wan Idris


Sekembalinya dari pengajian di Singapura, beliau meneruskan pengajian di Maahad Muhammadi Kota Bharu sehingga tamat kelas 7, dan sementara meneruskan pengajian beliau belajar seketika di sebuah sekolah swasta yang masyhur di Kelantan iaitu Sekolah Inggeris Islah (IES), Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Di sekolah inilah beliau berkesempatan belajar dengan (Tan Sri) Syed Jaafar Albar yang kemudiannya bergelar 'Singa UMNO' itu. Syed Jaafar adalah pengasas Sekolah Inggeris Islah dan beliau ketika itu adalah Guru Besar sekolah tersebut. Anaknya, Syed Hamid Albar adalah antara murid sekolah ini. 2


Setelah itu dalam usahanya untuk menyambung pengajian, Haji Wan Idris telah merantau ke sebelah barat semenanjung bermula dari Johor beliau turun ke Melaka sehingga ke Perak dan didapati banyak sekolah agama ketika itu masih tergendala dan ditutup walaupun perang Jepun sudah tamat. Sehinggalah beliau sampai ke Kedah, beliau mendapati ada sebuah sekolah di Alor Setar yang sangat masyhur di negeri itu iaitu Maktab Mahmud3 yang terus beroperasi walaupun ketika Perang Jepun4. Beliau cuba memohon untuk memasuki Maktab tersebut. Malangnya permohonan beliau itu ditolak atas alasan pihak maktab tidak menerima pelajar dari luar Kedah. Namun, pihak sekolah memberikan cadangan sekiranya beliau tetap ingin memasuki maktab tersebut, beliau boleh cuba memohon secara bersurat terus kepada Sultan Kedah sendiri kerana kuasa tertinggi terletak di tangan sultan.

Kerana tekad yang kuat untuk memasuki Maktab Mahmud, beliau telah mengutuskan surat kepada baginda sultan. Suratnya mendapat perhatian khusus pihak istana yang akhirnya bukan sahaja baginda memperkenankan permohonan beliau itu malah syarat kemasukan telah dipinda bagi membolehkan pelajar luar Kedah untuk turut memohon. Secara tak langsung Haji Wan Idris telah berjasa kepada pelajar-pelajar lain dari luar Kedah untuk mendapat peluang pendidikan di Maktab Mahmud yang terkenal itu. Haji Wan Idris menjadi pelajar Maktab Mahmud sehingga tamat pengajian.

Selesai sahaja pengajiannya di Maktab Mahmud, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir. Beliau amat terdorong untuk ke Mesir apabila sahabatnya Hassan Salleh (kemudiannya bergelar Dr. dan berkhidmat sebagai pensyarah di UKM) menyambung pengajian ke sana. Namun begitu, keinginannya itu dihalang oleh bapanya yang mendapat nasihat daripada bapa saudaranya Haji Wan Adam yang bimbang akan pengaruh pemikiran dan budaya yang tidak sihat di sana. Persepsi negatif terhadap pengajian di Mesir mungkin wujud kerana ketika itu tidak ramai anak melayu Kelantan yang melanjutkan pelajaran ke Mesir berbanding Mekah. Halangan ini tidak memadamkan keazamannya untuk menimba ilmu. Dari Kelantan, beliau berpakat pula dengan sepupunya Wan Musa Wan Sulaiman untuk melanjutkan pengajian ke Indonesia tanpa pengetahuan orang tuanya. Namun sekali lagi niat beliau telah tersekat apabila beliau ditahan ketika hendak belayar ke Indonesia. Mengetahui anaknya hendak berlepas ke Indonesia dari Pulau Pinang, orang tuanya segera menghantar telegram kepada Yamahad @ Wan Muhammad Wan Abu Bakar (saudara dua pupu kepada Haji Wan Idris) yang ketika itu menetap dan membuka kedai jahit di Bukit Mertajam. Wan Muhamad diminta supaya menahan dan memujuk dua anak muda itu untuk pulang. Mereka menghormati kehendak keluarga dan terus dibawa pulang ke Kelantan. Kali ini alasan keluarganya menghalang pemergiannya ke Indonesia pula adalah supaya beliau mewarisi dam mengusahakan perniagaan keluarga.

Beliau sangat sedih dan patah hati kerana niatnya untuk sambung belajar terhalang. Untuk seketika beliau memerap di rumah dan tidak ingin bekerja. Namun, walaupun hatinya lebih cenderung kepada dunia pengajian, akhirnya beliau tunduk dan akur kepada kemahuan keluarganya supaya berpakat dengan saudara-maranya yang lain untuk mengusahakan perniagaan di Gudang Share (Pakatan) 5. Dikatakan beliau diberikan modal permulaan sebanyak 10,000 ringgit oleh orang tuanya dengan harapan beliau akan mewarisi perniagaan keluarga.


Berkahwin

Setelah terlibat dengan perniagaan beliau telah dicarikan pasangan hidup oleh keluarganya. Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan cucu Haji Yusuff penggawa di Kampung Kubang Batang, Tumpat iaitu Che Habsah Haji Hassan.6 Bapanya, Haji Hassan Ahmad adalah seorang tokoh politik PAS yang menjadi wakil rakyat PAS yang menang pilihanraya 1959. Mereka berkahwin pada tahun 1950 ketika Haji Wan Idris berumur 20 tahun manakala Hajjah Che Habsah ketika itu baru berumur 12 tahun.


Mengasas Sekolah

Sekolah Agama Asriyyah
Pada mulanya Haji Wan Idris membuka sekolah mengajar agama di rumah nenek saudara sebelah isterinya, Hajjah Zainab di Wakaf Baru. Kemudian sekolah itu berpindah ke bangunan Kelab UMNO Wakaf Baru. Beliau menggajikan sendiri tenaga pengajarnya. Setelah itu beliau berpakat dengan rakan-rakannya untuk projek menternak ayam lalu dibina bangsal ayam dengan bantuan kerajaan atas tanah Encik Ibrahim Tukang Rumah di Wakaf Bharu. Namun projek tersebut tidak berapa berjaya. Lalu dari bangsal ayam itulah akhirnya ditubuhkan sekolah agama rakyat sesi petang yang diberi nama Sekolah Asriyyah dan tanah itu diwakafkan oleh Encik Ibrahim sebagai tanah untuk pendidikan. Haji Wan Idris menjadi pengerusi sekolah tersebut.

Setelah beroperasi tidak berapa lama kemudian, Haji Wan Idris memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk dinaiktarafkan kepada binaan bangunan batu. Guru-gurunya kebanyakan dipinjam dari Sekolah Naim dan ia terbuka kepada semua peringkat masyarakat dengan yuran sebanyak 3 ringgit sebulan.

Institut (Akademik) Zuhal





Apabila sekolah-sekolah agama rakyat kian merosot sambutannya daripada masyarakat dalam tahun akhir 60an dan awal 70an, Pada tahun 1976, Sekolah Asriyyah diubah kepada sekolah swasta yang terbuka kepada pengajian biasa. Sekolah ini dikenali sebagai Institut Zuhal yang beralamat di Jalan Lama, Wakaf Bharu. Menurut rencana Utusan Malaysia, 25 Mei 2008, Institut Zuhal adalah antara institusi pendidikan swasta yang terkenal di Kelantan sebaris dengan Institut Pendidikan (IP) Kota Bharu, Maktab Kadir Adabi, Institut Padang Merdeka Kota Bharu dan Institut Za'ba Pasir Mas. Peranan dan sumbangan institusi seperti Institut Zuhal ialah :

Ia memberi harapan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran selepas memperoleh keputusan mengecewakan di peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang kini dikenali sebagai Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Ramai daripada lepasannya yang berjaya ke universiti kini memegang pelbagai jawatan penting dan berbangga dengan sekolah di mana mereka bangkit dari segi pencapaian setelah belajar dan mengulang semula peperiksaan.” (Utusan, 25/5/08)7





Ketika mula-mula dibuka, ia bermodalkan sumbangan Haji Idris dan sabahat-sahabat seperjuangannya termasuk Cikgu Ibrahim Salleh (foto kiri) yang kemudiannya menjadi Guru Besar atau Pengetua Institut itu manakala Haji Idris sendiri sebagai Pendaftarnya.


Ketika itu, mereka menggaji seramai 28 orang guru dan mempunyai seramai lebih 300 orang pelajar. Kemuncak jumlah pengambilan pelajar ialah sekitar tahun 79-80 apabila sekolah itu mempunyai seramai lebih 600 orang pelajar. Bilangan pelajar semakin merosot selepas 1987 (400 orang) apabila Kerajaan mula memperkenalkan sistem peperiksaan terbuka.8

Keluhuran jiwa Haji Wan Idris dalam urusannya dengan sekolah yang diasaskan dengan keringat dan kewangannya terpancar apabila beliau merasakan bahawa beliau masih berhutang dengan pihak sekolah. Setelah melihat kejayaan institusi yang diasaskannya itu boleh berdikari, beliau bersungguh-sungguh ingin melunaskan ‘hutang’nya itu yang dikatakan berjumlah beribu-ribu ringgit sedangkan mengikut pengetua Institut Zuhal, Cikgu Ibrahim b. Salleh, Haji Wan Idris tidak mempunyai sebarang hutang dengan sekolah, bahkan selama ini Haji Wan Idris banyak berhabis wang ringgit dan ikhlas berkorban tenaga untuk sekolah itu.

Pernah suatu ketika menjelang hari raya, sekolah menghadapi masaalah kewangan untuk membayar gaji guru. Kerana begitu simpati, beliau segera membayarkan gaji guru-gurunya dengan duit simpanannya sendiri. Beliau juga tidak mengambil gaji walaupun bertugas sebagai pendaftar sekolah itu. Lantaran itu Cikgu Ibrahim merasa begitu segan dan serba salah untuk berjumpa dengan Haji Wan Idris kerana beliau rasakan pihak sekolahlah yang sebaliknya terhutang dengan Hj Wan Idris. Inilah antara keganjilan sikap Haji Wan Idris, sehinggakan ironisnya orang yang dikatakan dihutangnya (pihak sekolah) mengelak untuk berjumpa orang yang berhutang (Haji Wan Idris)!

Pada tahun 2005, Institut Zuhal hanya tinggal kenangan apabila ia diserahkan kepada pentadbiran lain yang menukarkannya kepada Sekolah Rendah Islam An-Nur.


Perjuangan dan Kecenderungan Politik

British
Perjuangan menentang kezaliman sememangnya tertanam dalam jiwa Haji Wan Idris. Ketika Malaya di bawah penjajahan British sekitar tahun 1952, District Officer (D.O.) Che Mohd. Salleh b. Omar9 , Pegawai Daerah Tumpat telah bercadang untuk mengenakan cukai hasil kepada penduduk Wakaf Bharu sebagai langkah permulaan British, yang kemudiannya akan dilaksanakan di seluruh negara. Marah terhadap cadangan yang tentunya menzalimi rakyat itu, beliau telah menggerakkan bantahan awam (mass protest) untuk menggagalkan rancangan Kerajaan British itu. Selama sebulan siang dan malam beliau meredah segenap pelusuk kampung di sekitar Wakaf Bharu dengan hanya berbasikal untuk memberi kesedaran dan mengajak orang-orang kampung supaya bangkit memprotes cadangan pihak berkuasa itu. Mengetahui bahawa usul akan dibawa ke pihak Majlis Tempatan (Local Council) oleh D.O. Che Mohd. Salleh untuk mendapat kelulusan dan seterusnya dilaksanakan, Haji Idris mengajak rakyat di Wakaf Bharu supaya keluar beramai-ramai pada hari persidangan Local Council untuk mengadakan bantahan awam dan seterusnya member tekanan agar pihak majlis menolak usul tersebut.

Sebaik sahaja mendapat maklumat beliau akan ditangkap oleh pihak berkuasa yang menganggap beliau sebagai dalang yang mempengaruhi orang ramai untuk menggagalkan rancangan British itu, Haji Wan Idris pergi bersembunyi dalam semak di pinggir sungai di kampungnya selama 3 hari iaitu sehingga sampai hari mesyuarat Local Council. Apabila tiba hari yang dinanti-nantikan itu, ternyata usahanya untuk menggerakkan kebangkitan rakyat tempatan berjaya dengan orang-orang kampung keluar beramai-ramai mengadakan protes awam di luar dewan mesyuarat sehingga memberikan tekanan kepada pihak Local Council untuk membatalkan hasrat melaksanakan cukai hasil yang menzalimi rakyat itu.

Peristiwa ini mengingatkan kita kepada penentangan Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Berahim Teleng terhadap Kerajaan British. D.O. Pasir Putih, Che Abdul Latif mengenakan cukai hasil pertanian terhadap penduduk Pasir Putih. Akhirnya Tok Janggut dan Ibrahim Teleng syahid dibunuh dan disemadikan di Pasir Pekan pada tahun 1915.10

Cara penentangan Haji Wan Idris dan Tok Janggut mungkin berbeza tetapi matlamat mereka sama iaitu menentang penjajahan British dan talibarutnya yang menindas penduduk pribumi. Menariknya, mereka telah ditakdirkan sama-sama disemadikan di bumi Pasir Pekan.


UMNO
Ketika UMNO ditubuhkan di Wakaf Bharu, Haji Wan Idris masih belum terlibat dengan parti. Beliau hanya bergiat cergas dengan UMNO apabila pengasas UMNO, Dato’ Onn keluar UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kerana gagal dapat sokongan orang Melayu beliau kemudiannya menubuhkan Parti Negara pada 1954. Haji Wan Idris menentang hasrat Dato’ Onn yang ingin membuka UMNO kepada semua kaum.

Beliau terlibat berkempen dalam pilihanraya 1955 membantu parti Perikatan bagi parlimen Tumpat (ketika itu dikenali sebagai Kelantan Utara) menentang Parti Negara. Ketika itu Perikatan yang diwakili oleh Tungku Indera Petra mengalahkan calon Parti Negara iaitu bekas D.O. Tumpat, Dato’ Nik Hussein bin Nik Zainal.

Melalui UMNO, Haji Wan Idris giat berjuang menuntut kemerdekaan Malaya. Selepas Merdeka, dalam pilihanraya 1959 peringkat negeri, beliau dipilih sebagai calon UMNO di DUN Tumpat Timur, manakala bapa mertuanya, Haji Hassan Ahmad bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya peringkat Parlimen Tumpat. Takdir tidak menyebelahi beliau apabila pilihanraya 1959 menyaksikan PAS memenangi 28 dari 30 kerusi sehingga menguasai negeri Kelantan. UMNO hanya menang satu kerusi di Kuala Krai dan MCA menang satu kerusi di Kota Bharu. Beliau yang mewakili UMNO/Perikatan kalah di peringkat negeri sebaliknya bapa mertuanya Haji Hassan Haji Ahmad menang sebagai wakil rakyat PAS peringkat Parlimen di Tumpat. Haji Wan Idris kalah dengan calon PAS, Che’ Ishak bin Mustapha dengan majoriti 745 undi.11

Setelah kalah pilihanraya, beliau telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Penyelia KEMAS Tumpat di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB) yang ketika itu di bawah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan juga Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Dalam parti UMNO beliau pernah memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO Kelantan dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat.

Sebagai bekas calon yang kalah dalam pilihanraya sebelumnya beliau tidak lagi dicalonkan oleh UMNO dalam pilihanraya 1964. Namun begitu beliau tetap aktif dalam UMNO.

Ketika memegang jawatan Penyelia KEMAS beliau juga diamanahkan untuk mengagihkan serta menyalurkan peruntukan projek-projek pembangunan di daerah Tumpat. Tentu sekali beliau tidak sunyi daripada fitnah seperti dituduh menyeleweng dan juga mengundang perasaan dengki daripada pihak-pihak yang berkepentingan sehingga Tengku Razaleigh Hamzah sedikit sebanyak terpengaruh. Oleh kerana beliau dikenali sebagai seorang yang amanah dan jujur, beliau terhindar dari jerat fitnah orang. Beliau cukup teliti dalam urusan kewangan dan akan mempastikan setiap sen dikembalikan kepada yang berhak. Rumah beliau di Kampung Baru, Pasir Pekan dijadikan tempat guru-guru penyelia kelas dewasa di bawah beliau untuk datang mengambil gaji yang dibayar secara tunai. Menurut isterinya, Haji Idris seorang yang berkira sehingga 5 sen pun dia tidak mahu terlibat dengan duit orang lain. Beliau akan menolak segala pemberian hadiah orang-orang yang berkepentingan kerana ketika itu ramai bercita-cita untuk jadi guru penyelia. Beliau dikenal sebagai seorang yang sangat tegas sehingga akan memecat guru-guru penyelia yang tidak menjalankan tanggungjawab mengajar. Beliau hanya melantik guru kelas dewasa berdasarkan kelayakan bukan kerana kepentingan tertentu.

Selain itu, beliau amat mengambil berat terhadap kebajikan dan hak masyarakat bawahan. Tengku Razaleigh dikatakan telah membuat janji dalam kempen pilihanraya untuk menaikkan elaun penyelia kelas dewasa. Namun janji itu tidak ditunaikan, malah timbul ura-ura pula mungkin sebaliknya elaun mereka akan diturunkan pula. Sebaik sahaja sampai ke telinga Haji Wan Idris, beliau terus menggerakkan mogok di kalangan semua penyelia sehingga Tengku Razaleigh terpaksa turun padang memujuk para penyelia yang mogok itu untuk kembali bertugas.

Selepas peristiwa ini, Haji Idris tidak lagi bergiat aktif dalam UMNO.


Parti Bebas Bersatu dan Berjasa
Haji Wan Idris kurang senang apabila dua parti besar yang mewakili Islam dan Melayu iaitu PAS dan UMNO bergabung dalam Kerajaan Campuran (1973) dan seterusnya Barisan Nasional (pilihanraya umum 1974) telah mengakibatkan hampir tiada pembangkang Melayu dalam Parlimen. Tunku Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri ketika itu telah mengemukakan idea agar diwujudkan Parti Bebas Bersatu supaya orang-orang Melayu bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya 1974 melawan Barisan Nasional. Mengambil nasihat Tunku itu dan setelah dipujuk oleh Mohd Fakharuddin Haji Abdullah , bekas ahli Palimen PAS Pasir Mas Hilir 1969, Haji Wan Idris bertanding sebagai calon Bebas Bersatu bagi Parlimen Tumpat.12 Di Kelantan, Parti Bebas Bersatu dipimpin oleh Mohd Fakharuddin Haji Abdullah sendiri. Kesemua calon parti Bebas Bersatu kalah dalam pilihanraya tersebut termasuk Haji Wan Idris. Meski pun beliau bertanding melawan BN, beliau masih tidak dipecat dari UMNO sedangkan kawan-kawannya yang lain ada yang dipecat kerana menentang BN dalam pilihanraya tersebut.

Apabila berlaku krisis politik dalam kerajaan PAS Kelantan sehingga parti itu dikeluarkan dari Barisan Nasional parti serpihan PAS iaitu Parti Berjasa pimpinan Dato’ Muhammad b. Nasir ditubuhkan sebagai menggantikan PAS dalam BN. Menjelang pilihanraya umum 1978, sekali lagi Haji Wan Idris dipujuk untuk bertanding sebagai calon Berjasa di Parlimen Tumpat. Kali ini beliau dengan tegas menolak tawaran tersebut kerana merasakan sudah cukup terlibat sebagai calon pilihanraya. Beliau sekadar memegang jawatan Ketua Berjasa Cawangan Kampung Baru.


PAS
Apabila PAS kembali menerajui Kelantan setelah memenangi pilihanraya umum 1990, meskipun sudah bersara dari terlibat dengan politik kepartian, beliau mengikuti dengan penuh minat perkembangan politik khususnya di Kelantan. Beliau menyanjung tinggi kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membawa era kepimpinan ulamak dalam PAS dan seterusnya meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Kepimpinan yang jujur dan amanah Menteri Besar Kelantan itu sememangnya selari dan serasi dengan jiwa Haji Wan Idris sendiri.

Haji Wan Idris dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sememangnya saling mengenali kerana ketika Haji Wan Idris berkhidmat sebagai Penyelia KEMAS, Nik Abdul Aziz (dulunya Ustaz) adalah salah seorang penyelia dan guru agama kelas dewasa antara tahun 1962-1964.
Manakala bapa Nik Abdul Aziz, iaitu Lebai Ni'mat Kedai Lalat adalah rakan kepada pakciknya, Tuan guru Haji Wan Adam.

Berbanding PAS, baginya, UMNO (ketika itu dibawah pimpinan Dr. Mahathir) sudah lari dari landasan perjuangannya yang asal. Perebutan jawatan parti, mengejar kekayaan dan projek, rasuah dan penyelewengan semakin merosakkan UMNO . Beliau meninggalkan UMNO kerana perjuangan sebenar sudah tiada dalam UMNO.13


Jawatan dalam Persatuan dan Masyarakat

Haji Wan Idris juga aktif dalam persatuan-persatuan dan bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan pendidikan, ekonomi dan keagamaan masyarakat setempat, antaranya ialah:

Pengerusi PIBG Sekolah Falahiah
Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan
Pengerusi Syarikat Kerjasama Kilang Padi Lambor, Kubang Batang
Pengerusi Syarikat Kerjasama Kilang Padi Pasir Pekan14
Imam Masjid Khairiah Kampung Baru (sekarang adiknya Ustaz Wan Muhamad Tahir menggantikan beliau menjadi imam)





(Foto Masjid Khairiah sekarang yang menggantikan surau kayu. 
Masjid baru ini telah dirasmikan oleh Tuan Guru Menteri Besar Kelantan) 


Atas jasa dan perjuangannya terutama ketika melawan penjajahan British dahulu, maka pihak UMNO Kelantan memaklumkan bahawa pada akhir tahun 1989 nama Haji Wan Idris telah dicatitkan dalam senarai penerima pingat kebesaran daripada Sultan Kelantan. Namun sebaik sahaja Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pimpinan PAS mengambilalih kerajaan pada tahun 1990, senarai nama penerima pingat yang dicadangkan UMNO itu dengan sendirinya terbatal. Haji Wan Idris sebenarnya tidak langsung mengharapakan pingat kebesaran di dunia ini kerana katanya beliau berjuang kerana akhirat dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.


Amalan Rohaniah

Haji Wan Idris adalah seorang yang banyak mengamalkan wirid dan zikir dalam hidupnya. Tidak diketahui secara khusus akan guru yang mengajarnya amalan kerohanian. Tetapi berdasarkan latar belakang pengajiannya terdapat guru-guru yang berkemungkinan besar menjadi murabbi beliau, antaranya seperti Kiyai Fadhlullah Suhaimi.

Walaupun dalam kesibukan urusan hariannya bibir dan hati beliau tidak lekang dengan zikrullah. Sekiranya beliau bermusafir atau membawa kereta beliau akan banyak berdiam sambil berzikir.

Di samping itu beliau beristiqamah untuk bangun setiap malam untuk berzikir dan bersolat tahajjud di bilik yang dikhas oleh beliau untuk bertaqarrub dan bermunajat kepada Allah sehingga akhir hayatnya.

Terjadi peristiwa pelik yang berlaku sebaik sahaja beliau menghembuskan nafas terakhir. Jenazahnya diziarahi oleh 3 ekor ayam yang cantik. Rumahnya yang bertangga tinggi hampir tidak pernah dimasuki ayam sebelum ini. Tentu sekali kehadiran ayam-ayam itu yang merupakan ‘tetamu’ paling awal itu mengejutkan beberapa ahli rumah yang ada ketika itu. Apabila ayam-ayam itu dilihat meluru ke arah jenazah, salah seorang ahli keluarganya terus mengambil seekor demi seekor ayam-ayam yang jinak itu dan dicampak ke luar rumah.

Peristiwa ini hanya menjadi bertambah pelik apabila isteri Haji Wan Idris menceritakan kepada anaknya Wan Mohamad Radzali. Anaknya itu lantas teringat pada ketika beliau bercadang memulakan perniagaan menjual nasi belauk di Wakaf Bharu. Beliau menyuarakan kepada ayahnya tentang kerisauannya kalau kedai yang akan diusahakan itu nanti tidak mendapat sambutan. Haji Wan Idris memberi kata semangat dan menyuruh anaknya itu supaya tetap membuka kedai makan itu. Maka pada awal pagi hari pertama anaknya membuka kedai makan tersebut, beliau didatangi oleh para 'tetamu’ yang pertama iaitu 3 ekor ayam yang cantik. Beliau terus menghalau ayam-ayam itu keluar dan kemudiannya ayam-ayam itu terus pergi menghilang dari pandangannya.


Meninggal Dunia

Setelah berjuang untuk menegakkan Islam dan memajukan masyarakat beliau telah
dipanggil pulang oleh Allah dalam usia 73 tahun. Beliau meninggal dunia pada pagi Rabu, 12 Mac 2003 bersamaan 9 Muharram 1424H meninggalkan begitu banyak jasa kepada masyarakat. Keprihatinan beliau terhadap nasib ummat Islam tetap membara walaupun di saat-saat akhir kematiannya. Walaupun sangat uzur, beliau begitu celik terhadap permasaalahan politik semasa termasuk yang menimpa umat Islam seperti di Iraq. Beliau meninggal tidak lama selepas menonton berita dunia yang ketika itu melaporkan serangan ganas Amerika Syarikat di Iraq. Kemarahan beliau kepada Presiden A.S. George W. Bush diluahkan kepada isterinya ketika bersarapan pagi di hari beliau bakal kembali mengadap Allah sehari sebelum hari Asyura.


Anak-anaknya

Beliau telah meninggalkan lima orang anak iaitu Wan Ahmad Sabri (meninggal dunia), Wan Mohamad Radzali, Wan Fadhilah Nor, Wan Mohamad Fadli dan Wan Muzani.

Sebelum meninggal beliau ada berpesan kepada anak-anaknya supaya banyak menyedekahkan pahala amal kepadanya setelah beliau meninggal dunia sepertimana beliau sendiri tidak putus bersedekah pahala kepada orang tuanya. Beliau mewasiatkan supaya anak-anaknya banyak membaca surah al-Ikhlas dan berdoa untuknya di alam kubur.

Ini mungkin berdasarkan pengalaman yang beliau sendiri alami. Suatu ketika selepas bonda tercintanya meninggal dunia beliau bermimpi ibunya berada dalam satu bilik yang malap dengan hanya bercahayakan pelita kecil yang hampir terpadam. Apabila tersedar dari mimpi anehnya itu, beliau terus membayar zakat yang mungkin ibunya ada terhutang serta menyedekahkan segala pahala amalan soleh untuk ibunya. Sambil itu beliau banyak berdoa memohon rahmat dan keampunan Allah kepada ibunya yang berada di alam barzakh. Tidak lama selepas itu beliau didatangi mimpi sekali lagi. Kali ini beliau lihat ibunya berada dalam bilik yang terang bercahaya. Dilihat betapa ibunya senyum gembira sambil memakai mahkota yang bergemerlapan. 15

Haji Wan Idris sangat memuliakan ibunya, Hajjah Wan Mariam sehinggakan ketika hendak bercakap dengan ibunya di rumah beliau akan terlebih dahulu duduk merendah diri di hadapan ibunya. Setiap kali beliau pulang ke rumah walaupun penat macamana sekalipun, beliau akan telebih dahulu pergi mengadap ibunya dan bertanya khabar. Selepas berjumpa ibunya itu barulah beliau meneruskan urusan lain di rumah. Beliau tinggal dengan ibunya walaupun beliau boleh sahaja membina rumah sendiri di atas tanah pusaka miliknya.

Anak-anaknya diberikan galakan kuat malah beliau sanggup menjual beberapa keping tanah semata-mata untuk perbelanjaan kewangan pendidikan mereka agar menjadi orang yang berjaya dalam pengajian sampai ke peringkat universiti di dalam dan luar negara. Anak sulungnya, Wan Ahmad Sabri dihantar belajar ke India, manakala Wan Mohd Fadli dibiayainya sampai ke Pakistan. Anak perempuannya, Wan Fadhilah Noor mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian Ijazah Undang-Undang di England manakala anak bongsunya Wan Muzani berjaya ke Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). Beliau tidak mahu anak-anaknya terhalang untuk belajar sepertimana beliau alami dahulu. Sebelum itu, adik bongsunya, Haji Wan Muhamad Tahir Wan Taib telah mendapat sokongan kuat beliau untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir sehingga pulang menjadi pensyarah di UiTM (kini bersara).

Semoga cebisan kisah Haji Wan Idris ini menjadi teladan dan menyuntik semangat di kalangan generasi muda keluarga keturunanWan Nuh. InsyaAllah.


Wallahua’lam

_________________________________________________________________
Nota hujung


1 Sebahagian besar dari kandungan rencana ini bersumberkan temubual dengan Hajjah Che Habsah Haji Che Hassan, isteri Allahyarham Haji Wan Idris pada 30 September 2008 dan Wan Fadhilah Nor (anak Haji Wan Idris) pada 2 Oktober 2008.

2 Hamzah Sidek, Wawancara dengan Tan Sri Syed Jaafar Albar : Sebagai Jambatan Parti, Mastika, Ogos 1976, hal. 4. Beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO(1949), Setiausaha Agung UMNO (1963) dan Pemuda UMNO (1976). Ini bererti beliau menjadi Pengetua Islah sekitar tahun 1945-1948. Rujuk juga Yazid Othman, A. Samad Ismail Adalah Mahaguru Wartawan Yang Cemerlang,http://yazidothman.com/content/view/80/12/. Menurut Yazid,” Pada hari terakhir saya di Islah English School Kota Bharu Kelantan yang lebih dikenali dengan nama IES , setelah tamat Tingkatan Lima, (iaitu sebuah Sekolah Inggeris Swasta terkenal di Kelantan, terletak di Jalan Pengkalan Chepa, yang dikendalikan oleh seorang Pengetua berbangsa Inggeris dan diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar di mana antara muridnya ialah Dato’ Seri Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri sekarang, anak Pengasas itu sendiri)”
3 Maktab Mahmud atau Al-Maadah Al-Mahmud telah ditubuhkan pada hari hari Jumaat 29 Rabiul Awal 1355 H bersamaan 19 Jun 1936 M. Perletakan batu asas telah disempurnakan oleh DYMM Tunku Mahmud Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarramul Shah, Regent and President State and Council Kedah. Maktab Mahmud kemudiannya dibuka secara rasminya oleh DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Negeri Kedah Darulaman pada ketika itu.
Tujuan utama Baginda adalah untuk menjadikan sebagai pusat penyebaran agama Islam, Bahasa Arab serta mengeluarkan tokoh-tokoh agama. Tambahan pula Baginda berpendapat Negeri Kedah memerlukan Kolej Islam setanding dengan sekolah-sekolah Inggeris pada masa itu, sistem pendidikannya menggunakan sistem pendidikan Mesir (Al-Azhar). Sumbangan Maktab Mahmud melahirkan tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan menentang Malayan Union dengan menubuhkan Persatuan Ulama Kedah pada 9 Februari 1946 yang telah berjaya menyatukan keseluruhan ulama Kedah menentang Malayan Union. Sila rujuk http://ms.wikipedia.org/wiki/Maktab_Mahmud#Tokoh
4 Temubual dengan Encik Suhaimi Long pada 10 Oktober 2008, bekas penuntut Maktab Mahmud. Menurutnya Maktab Mahmud adalah satu-satunya pusat pengajian agama yang terus dibuka dan tidak tergendala oleh perang Jepun dan Zaman Darurat. Mungkin kerana ianya mendapat naungan langsung dari Sultan Kedah.
5 Rujuk Wan Mohd Hazim Wan Abdullah, ‘Gudang Syer’, artikel keluarga Wan Nuh, www.wannuh.com
6 Hajjah Zainab adalah ibu saudara kepada bapa mertuanya, Hj. Hassan b Ahmad. Hajjah Zainab merupakan adik kepada ibu Hj. Hassan, iaitu arwah Tok Yah.
7 Lihat Utusan Malaysia, 25 Mei, 2008.
8 Temubual dengan Cikgu Ibrahim b. Salleh, bekas Pengetua Institut Zuhal pada 9 Oktober 2008.
9 Che Salleh b. Omar adalah D.O. ke-3 yang memegang jawatan dari 1 Mac 1951 hingga 15 Mac 1953. Sumber: Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat. Menurut Che Habsah Hj. Hassan, Che Mohd Salleh ada pertalian kekeluargaan dengan Dato’ Perdana, Kota Bharu.
10 Lihat Nik Anuar Nik Mahmud, Tok Janggut Pejuang atau Penderhaka?,UKM, 1999.
11 Haji Mohd Amin Yaakub, Sejarah Pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990: Bhg.I, Pusat Kajian Strategik, Kota Bharu: Ogos 2001, hal 146. Haji Wan Idris (Perikatan) mendapat 2,754 undi berbanding Che’ Ishak (PAS) sebanyak 3,469 undi.
12 Lihat Mohd Asri Haji Muda, Memoir Politik Asri: Meniti Arus, UKM:1993, hal. 103. Menurut Dato’ Asri ahli-ahli PAS yang menjadi calon Parti Bebas Bersatu ini terdiri daripada mereka yang kurang senang dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional
13 Pandangan ini diluahkan oleh Haji Wan Idris ketika penulis berkesempatan bersembang politik dengannya sekitar tahun 2001-2002.
14 Kedua-dua syarikat Kerjasama Kilang Padi ini ditubuhkan oleh bapa saudaranya, Haji Wan Sulaiman pada tahun 1957.

15 Sebagaimana diceritakan oleh anak saudaranya, Wan Mohd @ Pauzi b Wan Yunus pada 3 Oktober 2008

Dari kisah Wan Idris timbul satu pertanyaan, adakah benar UMNO ikhlas berjuang mendaulatkan Islam atau perjuangan mendaulatkan Islam sebagai mekap sahaja? Kalaulah benar UMNO benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam kenapakan manusia yang ikhlas seperti Wan Idris tersisih dan menyisihkan diri dari perjuangan UMNO? Dari kisah hidup Wan Idris dapatlah kita simpulkan perjuangan UMNO mendaulatkan Islam hanyalah pada selogan manakala perlaksanaannya hanya melepaskan batuk ditangga. Nasib Wan Idris sangat berbeza dengan saudara sepupunya Wan Jamin b Wan Mahmood (bekas Ahli Parlimen Tumpat)dan Wan Abdullah b Wan Sulaiman (bekas ADUN Simpangan)yang berjaya mencapai kejayaan menang dalam pilihanraya kerana bernaung di bawah panji-panji perjuagan Islam tulen iaitu PAS. Medan perjuangan Wan Idris hanyalah di ruang yang sepit lagi bersifat tempatan sebagai penggerak masyarakat melalui KEMAS sedangkan saudara sepupunya Wan Jamin sebagai penggerak kepada mengembelingkan barisan Pemuda PAS sehingga terlahirnya tokoh-tokoh Pemuda PAS seperti Husam b Musa dan Salahuddin b Ayub dan memperkasakan PASTI, serta Wan Abdullah yang berjaya memberi nafas baru kepada SMUA Meheliah, Geting.

……………………………………………………………………………………………………….
WAN SULAIMAN
Wan Sulaiman bin Wan Abdullah
Oleh: Wan Mohd. Hazim bin Wan Abdullah.

Dilahirkan di Kampong Surau, Pekan Kelantan, pada tahun 1890an. Merupakan anak lelaki sulung Wan Abdullah bin Wan Nuh. Berkahwin dengan sepupu sebelah bapanya yang bernama Wan Hafsah binti Wan Ali. Pasangan ini telah dikurniakan 8 orang yang bernama Wan Rahmah, Wan Abdullah, Wan Musa, Wan Meriam, Wan Maimunah, Wan Mansor, Wan Zakaria dan Wan Ali.

Kebolehan beliau dalam ilmu tulis-menulis, kira-mengira dan minat beliau dalam bidang pertanian telah menyebabkan beliau dipilih oleh bapa mertuanya Wan Ali bin Wan Nuh sebagai setiausa syarikat keluarga Wan Nuh.

Wan Sulaiman mewarisi kepimpinnan bapanya Wan Abdullah dalam mentadbir mini estate Kuala Nal selepas kematian bapanya Wan Abdullah bin Wan Nuh. Walaupun Wan Sulaiman ligat mencari habuan dunia, namun ini tidak melalaikan beliau tentang habuan di akhirat. Beliau bukanlah seorang yang tamak yang hanya tahu menimbun harta untuk kepentingan diri sendiri bahkan beliau berpandangan sepatutnya dikongsi dengan orang lain.

Berbekalkan kesedaran inilah beliau memimpin keluarga beliau dan rakan-rakan beliau membeli mini estate Kuala Geh dari orang Inggeris dan mini estate Tanjung Batu dari orang Cina. Beliau juga menubuhkan Syarikat Kerjasama Pasir Pekan dan Syarikat Kerjasama Kilang Padi Lambor, Kubang Batang pada tahun 1957 sebagai menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan orang melayu menubuhkan koperasi.

Ternyata Wan Sulaiman seorang yang amat yakin bahawa pelajaran boleh merubah nasib seseorang kearah yang terelebih baik dan boleh menjadi seorang yang berguna untuk masyarakatnya.Berbekalkan prinsip ini Wan Sulainman sanggup berhabis harta untuk membiayai pelajaran anak-anak lelakinya sehingga ke luar negeri seperti Wan Abdullah belajar di Indonesia, Wan Zakaria belajar di Singapura, Wan Ali belajar di India, Wan Musa di Selangor dan Wan Mansor belajar di Mesir.

Setelah tamat belajar anak-anak lelakinya diberi peluang menerajui badan perniagaan dibawah kelolaan Wan Sulaiman seperti mini estate Kuala Nal, mini estate Tanjung Batu, mini estate Kuala Geh, Pekan Langgar Sdn. Bhd, Syarikat Kerjasama Pasir Pekan Berhad dan Syarikat Kilang Padi Lambor Berhad Sebagai seorang yang amat menyedari kepentingan pelajaran agama dalam merubah nasib anak watan di kampongnya beliau telah menubuhkan wakaf falahiah.

Demi memastikan harta wakaf falahiah diuruskan menurut yang sepatutnya beliau telah dua orang pemegang amanah iaitu Nik Abdul Kadir bin Nik Mohamad sebagai pengerusi dan Wan Abdullah bin Wan Yusuf sebagai setiausaha serta bendahari. Berkat keikhlasan Wan Sulaiamn memakmorkan kaum keluarga dan rakan tualan menyebabkan Wan Sulaiman serta kaum keluarganya menjadi orang yang dihiormati oleh penduduk setempat. Wan Sulaiman meninggal dunia pada tahun 1970an kerana mengidap sakit batuk kering dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam Kg. Surau, Pekan.

Selepas kematian Wan Sulaiman, tugas-tugas Wan Sulaiman dipikul sepenuhnya oleh anaknya Wan Zakaria bin Wan Sulaiman.yang bertindak sebagai Pentadbir Pesaka Wan Sulaiman serta isterinya Wan Hafsah binti Wan Ali selepas kematian mereka.

Nota Tambahan 1:Malang bagi Wan Sulaiman, keistemewaan yang beliau kecapi kerana memperolehi kepercayaan menguruskan syarikat keluarga telah menimbulkan rasa iri hati dari adiknya sendiri iaitu Wan Mahmood. Sebagai adik bongsu Wan Sulaiman, Wan Sulaiman selalu menolong Wan Mahmood membeli tanah-tanah yang berpotensi. Malangnya Wan Mahmood kerana sifatnya yang tamak telah mengenepikan Wan Sulaiman. Pada satu ketika Wan Sulaiman telah ditawarkan orang membeli sebidang tanah, Wan Sulaiman kerana tidak mempunyai cukup wang telah berhutang dengan Wan Mahmood.Berita Wan Sulaiman mahu membeli tanah itu telah sampai ke telinga Wan Mahmood dan Wan Mahmood telah berjumpa dengan penjual tanah itu.Kepada penjual tanah itu Wan Mahmood memberitahu yang mahu membeli tanah itu ialah beliau bukannya Wan Sulaiman. Wan Mahmood telah mengajak penjual tanah itu ke Pejabat Tanah dan mendaftarkan tanah itu di atas namanya.(sebagaimana diceritakan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman juga Wan Mansor b Wan Sulaiman).Dikatakan juga Wan Mahmood benci kepada Wan Sulaiman kerana menganggap dia lebih layak memimpin keluarga Wan Nuh kerana dia adalah menantu kepada Wan Ahmad iaitu anak lelaki tunggal Wan Ali (sebagaimana diceritakan oleh Wan Jamin b Wan Mahmood).Wan Mahmood telah banyak mewarisi barang-barang peribadi Wan Ali seperti keris,parang,tombak dan sebagainya. Kerana tidak tahu menilai, Wan Mahmood telah sama ada menjual barangan itu sebagai besi buruk atau memberinya kepada orang yang meminta.(sebagaimana diceritakan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman) Pada masa kini sebilah keris kepunyaan Wan Nuh dan sebilah parang kepunyaan Wan Ali berada ditangan Wan Yusoff b Wan Abdul Samad.

Nota Tambahan 2: Kita sepatutnya berterima kasih kepada Wan Sulaiman kerana mempunyai kesedaran diatas kepentingan menyimpan bahan bertulis seperti surat menyurat dan minit mesyuarat, kalaulah tidak kerana sikap beliau yang perihatin menyimpan bahan-bahan bertulis secara sistematik, kita mungkin kehilangan hak ke atas rumah wakaf di Mekah. Kita juga mungkin tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku ke atas syarikat-syarikat kepunyaan keluarga Wan Nuh seperti Pakatan Kebun Kuala Nal, Pakatan kebun Kuala Geh dan sebagainya. Kesedaran Wan Sulaiman kemudiannya diteruskan oleh menantunya Wan Abdullah b Wan Yusoff. Selepas kematian Wan Sulaiman, bahan-bahan bertulis yang disimpan oleh Wan Sulaiman telah diselongkar oleh anak-anaknya Wan Zakaria dan Wan Musa serta Wan Mansor, anak-anak Wan Sulaiman hanya berminat keatas dokumen yang berkaitan dengan pesaka Wan Sulaiman, selain dari itu diselerakkan sebagai sampah. Wan Abdullah diatas kesedaran bahan bertulis yang tinggal itu sebagai bahan sejarah telah mengumpul dan menyimpan semula bahan bertulis itu sebagaimana sepatutnya. Pada masa kini sebahagian besar bahan bertulis yang ada kaitan dengan keluarga Wan Nuh telah diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia sebagai harta awam.

……………………………………………………………………………………..



TOK GURU HAJI WAN ADAM[1]


(1909 – 1957)
Oleh: Ismail Awang
Seorang ulama’ yang berusaha mengembangkan pengajian Islam melalui sekolah, berusaha dan bergiat menyedarkan rakyat untuk kemerdekaan dan pembangunan ekonomi serta pengetahuan orang kampong, di Pasir Pekan khususnya ialah al-Fadhil Tuan Guru Haji Wan Adam bin Wan Abdullah. Beliau bukan sahaja mengorbankan tenaganya tetapi juga harta bendanya.

Kelahirannya
Haji Wan Adam bin Wan Abdullah dilahirkan pada tahun 1909M /1327H di Kampung Surau, Pasir Pekan, Kelantan oleh ibunya, Wan Setajar (Siti Hajar) binti Wan Abu Bakar (Imam Pasir Pekan yang pertama). Bapanya Wan Abdullah bin Wan Nuh pada mulanya adalah seorang peniaga kemudiannya menjadi pemilik kebun getah di Kuala Nal yang akhirnya menjadi estet (ladang).

Pendidikannya
Pengajian al-Quran merupakan asas pelajaran di zaman itu. Beliau sungguh beruntung kerana lahir dari kalangan keluarga yang sudah mempunyai asas-asas ugama – datuk dari sebelah ibunya ialah bekas Imam pertama di Pasir Pekan. Beliau telah khatam al-Quran dengan Haji Wan Ahmad b. Haji Wan Abdul Rahman – seorang guru al-Quran di Kampung Surau itu.
Setelah tamat al-Quran beliau belajar nahu dengan Tuan Guru Haji Abbas di Kota Kubang Labu, tetapi tidak lama di sini beliau bersama-sama Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ belajar pula di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Beliau terpaksa berulang-alik dengan perahu kecil, terkadang pernah terbalik sehingga basah seluruh pakaian dan kitab-kitab, namun mereka tetap juga berdayung sehingga beberapa tahun. 

Di sini beliau pernah belajar dengan Haji Yaakub Haji Ahmad Lorong Gajah Mati, Haji Ismail Haji Sulong, Haji Ismail Palekbang dan Haji Ahmad Kedah. Sebelum belajar di Masjid Muhammadi beliau juga belajar kepada Tuan Guru Che Mat bin Haji Taib[2], Hujung Pasir, Pasir Pekan. 

Setelah belajar di Masjid Muhammadi, beliau bersama-sama seorang kawannya bernama Haji Nik Muhammad bin Haji Wan Abdul Rahman telah pergi belajar di Kemuning, Machang – kepada Tok Kemuning (Tuan Guru Haji Ismail) selama hampir setahun. Di sanalah beliau mendapat tahu bahawa Haji Ahmad anak Tok Kemuning hendak ke Mesir. Sahabatnya, Nik Muhammad Wan Abdul Rahman telah mendorongnya supaya beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir. Atas dorongan itu beliau bersetuju, kemudian memberitahu Tok Kemuning. Tok Kemuning yang telah bermukim lama di Makkah dan begitu terpengaruh dengan Makkah dan Mesir amat bersetuju atas cadangan Haji Wan Adam itu. 

Pada 8 Oktober 1925 bersamaan 1344 Hijriah, beliau bersama tiga orang lagi dari Kemuning itu bertolak ke Mesir. Mereka itu ialah:
1. Haji Ahmad b. Haji Awang Kemuning ( Haji Ahmad Maher)
2. Haji Mustafa b, Haji Che Tengah, Limau Hantu (meninggal 1346H di Mesir )
3. Nik Jaafar b. Haji Nik Wan
Dari sudut tarikh lahirnya nampak jelas bahawa Haji Wan Adam lebih muda dari Haji Ahmad Maher 3 tahun sahaja.[3] Tetapi sejak di Kelantan mereka bersama-sama menghadapi guru-guru yang sama seperti Haji Yaakub Lorong Gajah Mati dan lain-lain di Masjid Muhammadi, sehingga beliau ke Mesir dan kembali ke Kelantan pun menjadi sahabat karib sehingga meninggal.

Haji Wan Adam belajar di Mesir, kemudian menyambung pelajarannya ke Makkah al-Mukarramah pula. Di sini beliau mendapat kawan-kawan baru yang juga datang dari Kelantan seperti Haji Nik Abdul Rahman Abdullah, Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub dan sebagainya. Mereka dikatakan telah juga belajar dengan Haji Wan Adam di Makkah. 



Di Makkah al-Mukarramah beliau telah berjaya mengarang sebuah buku bernama “Zaadul Haj” bersama-sama Syaikh Hasan Nor Patani. Buku ini menjadi panduan kepada orang-orang mengerjakan haji dan dicetak kali pertama diMatba’ah Syarqiah, Jeddah, tahun 1357 H – 1938 M. 
Selain dari panduan orang-orang haji, beliau juga telah memberi beberapa nasihat sewaktu berada di Makkah supaya orang-orang yang mengambil haji sentiasa dalam keadaan sihat dan baik. Di dalam buku yang setebal 106 muka itu juga dimuatkan sejarah pendek Masjid al-Haram, Perang Khandak, Badar, ‘Ain Zabidah, Masjid Nabawi dan sebagainya.

Beliau juga telah mengarang risalah-risalah khusus untuk mengajar dan khutbah-khutbah Jumaat. Di dalam risalah akhlaknya beliau menulis:
“Hidup sebagai kehidupan orang-orang alim yang mulia dan kamu meninggalkan kehidupan yang sebagaimana kehidupan orang-orang jahil yang hina itu”



Foto Kiri: Contoh tulisan tangan Tuan Guru Haji Wan Adam 


Di Makkah al-Mukarramah beliau belajar di Madrasah al-Falahiah. Beliau telah mendapat Shahadah an-Najah al-‘Aliah li Talamizat al-Madaris al-Falahiah, di Makkah al-Mukarramah dalam pangkat pertama (Martabah al-Ula). Syahadah beliau adalah siri yang ke-92 dari siri ini di Madrasah itu.

Di dalam syahadah itu dapat dilihat kecenderungan beliau dalam biang ilmu tafsir, hadith, tauhid dan akhlak. Di dalam hidupnya, kesan daripada pelajaran itu, nampak jelas sekali beliau empunyai sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang tinggi mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Beliau tidak suka bercakap banyak. Kalau ketawa, tidak berdekah-dekah, biasanya setakat tersenyum sahaja. Tetapi apabila didengar perkataan yang menggelikan hatinya beliau menahan ketawa dengan menekan-nekan perutnya.


Berkahwin
Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Hajjah Nik Rogayah[4] bt. Haji Nik Mat yang ada hubungan darah dengan Tok Wan Ali Kutan dan keluarganya di Patani. Darah yang mengalir padanya diperolehi dari darah Kelantan, Pulau Pinang dan Patani. Perkahwinan ini berlangsung pada tahun 1938.

Membuka Sekolah
Setelah mendapat anaknya yang pertama, Wan Faridah (1939M). beliau turun ke Tanah Melayu, kembali ke kampung tempat tumpah darahnya - Kampung Surau Pasir Pekan. Tidak berapa bulan kemudian beliau mengajar di surau itu. Pengajaran tidaklah berbentuk pondok tetapi berbentuk sekolah. 

Dalam masa yang singkat sahaja murid-murid bertambah ramai dan terpaksalah beliau meminta bantuan dari sahabat lamanya, Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’. Mereka mengajar secara percuma sahaja, tanpa mengenakan sebarang bayaran. 

Kira-kira pada tahun 1940 M, beliau berpindah dari Kampung Surau ke Padang Pasir dekat dengan Kota Kubang Labu. Di sinilah beliau mendirikan sekolah dengan bantuan saudara-saudaranya: Haji Wan Sulaiman, Haji Wan Taib dan bapa saudaranya , Haji Wan Abdul Samad. Madrasah ini diberi nama “al-Madrasah al-Falahiah” mengambil sempena sekolah tempat beliau belajar di Makkah al-Mukarramah. Sekolah ini dibuat dua tingkat – tingkat atas dijadikan balaisah tempat sembahyang dan di tingkat bawah tempat belajar.


(Foto: Tapak asal Madrasah Falahiah yang kini adalah Maahad Muhammadi (P) Pasir Pekan) 

Tidak lama kemudian muridnya semakin meningkat. Jadi terpaksalah menambahkan seorang guru lagi. Sehingga saat itu guru-gurunya ialah:
1. Haji Wan Adam Wan Abdullah
2. Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ dan
3. Haji Nik Muhammad Wan Abdul Rahman
Dalam usahanya untuk mengembangkan sekolah ini para guru terpaksa bekerja kuat. Selain daripada mengajar, guru-guru terpaksa juga mencari bantuan dari orang ramai. Dengan usaha yang gigih sedemikian, bangunan sekolah dapat ditegakkan dengan baik dan pondok-pondok (asrama sendirian) didirikan oleh para pelajar yang datang dari negeri-negeri Pahang, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan sebagainya.

Sebagai seorang yang pernah belajar di sekolah, maka sistem persekolahan dapat dijalankan dengan jayanya di sekolah ini. Beliau juga pernah berpandu kepada peraturan-peraturan Majlis Ugama Islam seperti Peraturan Bagi al-Madrasah al-Muhammadiah al-Arabiah (Minit Majlis 13/1937) yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Kelantan pada 1 Rajab 1356 bersamaan 6 September 1937.


Sistem Sekolah Falahiah ini bermula dari Kelas 0 (kosong), dikenali dengan nama Kelas Not. Setelah setahun dan lulus peperiksaan, diangkat ke Darjah Satu, kemudian Darjah Dua dan seterusnya Darjah Tiga. Semua mata pelajaran adalah dalam bahasa Arab, termasuk geografi dan ilmu hisab.

Setelah sekolah ini berjalan baik, maka pada 1 Januari 1943 sekolah ini diterima sebagai sekolah Majlis Ugama Islam Kelantan.

Mengikut kenyataan Pegawai Pelajaran Majlis Ugama Islam Kelantan bahawa urutan sekola-sekolah Majlis ini dibuka (diterima) adalah sebagaimana berikut:
1. Maahad Muhammadi (Melayu) Laki-laki – 5.8.1917
2. Maahad Muhammadi (Perempuan) – 16.2.1932
3. Maahad Muhammadi (Arab) – 1.4.1937
4. Madrasah Falahiah, Pasir Pekan – 1.1.1943.
5. Sekolah Arab Pasir Mas – 1.4.1943
6. Madrasah Yaakubiah, Nipah, Bachok – 1.6.1943
7. Sekolah Arab Beris Kubor Besar, Bachok – 26.3.1944
8. Sekolah Arab Machang – 1.1.1949

Mengikut rekod, guru-guru yang mengajar di Sekolah Arab Falahiah Pasir Pekan pada bulan Mac 1946 ialah:
1.       Haji Wan Mahmud Daud (guru Arab II), gajinya $49.00
2.       Haji Wan Adam Wan Abdullah (pemangku Guru Besar), gajinya $36.00
3.       Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ (gajinya $22.00)
4.       Nik Muhammad Haji Wan Abdul Rahman (gajinya $21.00).

Sekolah ini dilawati oleh Pemeriksa Sekolah-sekolah Majlis, Haji Nik Abdul Rahman.
Bilangan murid-muridnya ketika itu ialah: darjah ‘0’ seramai 17 orang, darjah satu 25 orang, darjah dua 20 orang dan darjah tiga seramai 13 orang.

Sekolah ini kemudiannya berkembang dari semasa ke semasa sehingga berubah wajah. Tanah tapak seluas dua ekar lebih, wakaf atas nama Haji Wan Adam itu, dapat digunakan sepenuhnya untuk bangunan sekolah, tambahan pula setelah Majlis Ugama Islam Kelantan membangunkan bangunannya yang baru.

Untuk perkembangan sekolah ini, Haji Nik Abdul Rahman Abdullah, Haji Ahmad Maher, Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub, Haji Nik Muhammad Adeeb, Haji Fadhullah Suhaimi pernah memberi syarahan-syarahan ugama, terutama pada hari ulang tahun kelahiran Rasulullah (s.a.w).

Keitka berada di Pasir Pekan, Haji Wan Adam telah berusaha memaju kawasan itu, terutamanya dalam bidang ugama. Beliau selalu berpidato, mengajar malam dan siang, mengadakan beberapa balaisah dan menyelitkan semangat di dalam khutbahnya supaya anak-anak diberi latihan dan pelajaran ugama.

Sementara itu beliau sendiri telah membentuk anak-anaknya dengan ajaran ugama apabila beliau telah menghantar semua anak-anaknya dari isteri tua ke sekolah ugama. Manakala anak dari isteri mudanya tidak sempat beliau mendidik sendiri dengan sepenuhnya.

Di bidang politik, beliaulah orang pertama menubuhkan cawangan UMNO di pasir Pekan dan menjadi pengerusinya pada penghujung tahun empat puluhan. Beliau juga mengambil bahagian cergas untuk mengembangkan UMNO. Semangat inginkan kemerdekaan tidak kurang juga menekankan perasaannya sehingga beliau pernah berkempen dan memberi penerangan di masjid-masjid[5].
Di badang ekonomi, beliau telah berusaha menubuhkan syarikat kilang padi dan mengambil bahagian di dalamnya.

Ahli Dewan Ulama’
Haji Wan Adam pernah dilantik menjadi anggota Dewan Ulama’, Majlis Ugama Islam Kelantan. Mengikut Pengasuh bilangan 2 Kelauran 20 Jun 1946 – 21 Rajab 1365, nama-nama anggota pada masa itu ialah:
1.       Sahid al-Fadhilah Tuan Haji Ahmad Maher, Mufti Kerajaan – Yang Dipertua.
2.       Alfadhil Tuan Haji Nik Muhammad Adeeb – Naib Yang Dipertua.
3.       Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub
4.       Haji Abdullah Tahir Haji Ahmad
5.       Haji Ismail Haji Abdul Majid
6.       Haji Nik Abdul Rahman Haji Wan Abdullah
7.       Haji Wan Hasan Haji Wan Muhammad
8.       Haji Yaakub Muhammad
9.       Haji Nik Hasan Haji Nik Mat
10.   Haji Wan Adam Haji Wan Abdullah
11.   Haji Ali bin Awang
12.   Haji Ishak Shamsudin
13.   Haji Muhammad Yusuf (Tok Kenali)
14.   Haji Muhammad Nor Haji Ibrahim
15.   Haji Muhammad Haji Idris
16.   Lebai Ni’mat Kedai Lalat

Meninggal Dunia

Pusara Haji Wan Adam di Tanah Perkuburan Kampung Surau, Pasir Pekan.

Setelah berjuang untuk menegakkan Islam dan memajukan masyarakat beliau telah
dipanggil pulang oleh Allah dalam usia yang belum begitu lanjut. Beliau meninggal dunia pada 12 April 1957, ketika sekolahnya sedang berkembang.

Anak-anaknya
Beliau telah meninggalkan sebelas orang anak dari dua orang isteri. Dari hajjah Nik Rogayah seramai tujuh orang (semuanya perempuan): Wan Faridah, Saadiah, Asiah, Fatimah, Hafsah, Mariam dan Zainab. Dan dari isterinya Hajjah Wan Zubaidah seramai empat orang: Koperal Muhammad Najib, Aminah (Siti Hajar), Muhammad Farid dan Rafeah.

Beliau juga telah meninggalkan beberapa pusaka kepada anak-anaknya. Yang paling banyak ialah buku-buku. Selain dari itu ada juga tanahnya di Makkah dan ada di antaranya yang diwakafkan di Makkah yang sampai kini masih wujud.

Murid-muridnya
Ramai murid-murid yang telah ditinggalkan dan masing-masing mengambil bahagian di dalam masyarakat – ada yang menjadi guru besar seperti Cikgu Wan Abdullah Wan Sulong, Cikgu Hasan Muhammad; ada yang menjadi Penghulu seperti Encik Hamzah; ada yang menjadi Penggawa, pegawai polis, guru-guru ugama, mubaligh dan sebagainya. Yang terkemuka di antara murid-muridnya ialah Ustaz (Dr.) Haji Hassan Haji Saleh (pengarang dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia), Ustaz (Dr.) Abdul Fatah Ibrahim (juga pensyarah di Universiti), Haji Muhammad Abdul Rahman (Qadhi Tumpat), Ustaz Haji Wan Hasan Wan Daud (bekas Wakil Rakyat) dan sebagainya.
Nota:-
P1 pada nota kaki merujuk kepada penyelenggara Buku Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1), Ismail Che Daud. Manakala P2 ialah nota yang ditambah oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah, wmnasruddin@gmail.com

[1] Rencana tulisan Ismail Awang ini dipetik dari buku ‘Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1)’, terbitan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Edisi Ketiga, 2001. hal. 611 – 622. Rencana ini asalnya tersiar dalam majalah Pengasuh melalui siri tokoh ulama’ dengan foto potret Tuan Guru Haji Wan Adam (berserban) menghiasi kulit hadapan majalah tersebut. (P2)
[2] Tuan Guru Haji Che Mat (Ahmad) meninggal dunia pada tengah malam Rabu 10 Oktober 1973 dalam usia yang sangat lanjut. (P1)
[3] Perbezaan umur tiga tahun itu kurang tepat kerana Haji Ahmad Maher ladir pada tahun 1322 H, sedangkan Haji Wan Adam pada tahun 1327 H. (P1)
[4] Haji Wan Adam berkahwin dengan Nik Rogayah yang bermastautin di Makkah al-Mukarramah. Nik Rogayah juga mempunyai pertalian darah dengan keluarga Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang. Sekembalinya ke tanah air, Haji Wan Adam turut membawa pulang ibu mertuanya untuk tinggal bersama nya di Kelantan(P2)
[5] Kenyataan Abdul Rahman Che Leh (Pak Chik Man), Kampung Bharu, Pasir Pekan.
Posted by Jasamu dikenangat 11:08 PM


………………………………………………………………………………

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

WAN ALI



Wan Ali Nakhoda (bersongkok) bergambar bersama Sultan Kelantan (Sultan Muhammad IV) di awal 1900.


RIWAYAT HIDUP SEORANG PEJUANG.
WAN ALI NAKHODA AL HAJ BIN WAN NUH NAKHODA AL HAJ

Oleh Wan Mohd. Hazim bin Wan Abdullah.
(dikemaskini oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah pada 10 April 2008)

Wan Ali Nakhoda al Haj adalah anak watan Mukim Pekan, dilahirkan di Kampong Surau pada tahun sekitar 1850an[1]. Merupakan anak sulung di antara lapan orang adik beradik. Bapanya Wan Nuh dikatakan berasal dari Minangkabau, Sumatra. Setelah berada beberapa lama di negeri Perak, beliau telah berhijrah dan menetap di Kampong Surau, Pekan tetapi meninggal di Singapura[2]. Beliau telah membuka lembaran baru dalam sejarah tempatan dengan menubuhkan perusahaan kain tenun yang sangat maju.

Pedagang
Sebagi anak lelaki sulung Wan Nuh, Wan Ali telah mewarisi kepimpinan bapanya dalam pengurusan perniagaan keluarganya setelah bapanya meninggal dunia di Singapura. Beliau telah berkahwin dengan Wan Aminah binti Wan Abu Bakar dari kampung Dusun Langgar, Pekan yang terkenal kerana kemahirannya dalam menenun kain. Hasil tenunannya lebih cantik, lebih tebal, lebih lembut dan berbau wangi berbanding dengan tenunan orang lain[3]. Wan Ali menjual hasil kain tenunan keluarganya ke negeri-negeri Melayu terutamanya negeri Perak, negeri Pahang dan Negeri Terengganu. Bahkan Wan Ali sangat terkenal di kalangan orang-orang istana dan biasa dijemput menjamu selera bersama para raja dan pembesar istana[4]. Selain daripada perniagaan kain tenun, Wan Ali juga mempunyai perniagaan beras dan garam yang dibeli dari Pattani dan dibawa dengan kapalnya ke negeri-negeri Melayu dan Singapura[5].

Nakhoda
Perniagaannya begitu berjaya sehingga Wan Ali berupaya bertukar-tukar kapal dari yang kecil kepada yang lebih besar dan berinjin. Kapalnya yang bernama Bintang Timur begitu terkenal sehingga Wan Ali dikenali sebagai “Wan Ali Bintang Timur” di kalangan orang di luar Kelantan terutamanya di kalangan para pelayar di negeri Terengganu dan Singapura. Orang-orang tempatan menggelarnya “Wan Ali Tok Khada” atau Nakhoda[6].


 Periuk tembaga ini digunakan untuk tanak nasi atas kapal Wan Ali Nakhoda dalam pelayarannya.

Semasa kejadian “bah merah” (banjir air merah)[7]melanda negeri Kelantan dalam tahun 1926 Wan Ali telah banyak berbakti kepada rakyat Kelantan dengan mengangkut bekalan beras dan barang-barang keperluan lain dari Pattani kepada orang ramai yang dalam kesusahan akibat banjir besar itu. Malangnya banjir besar itu telah menyebabkan kapalnya karam di tebing Sungai Kelantan. Dikatakan kerana diperdayakan oleh rakan kongsinya menyebabkan beliau telah mengalami kerugian yang amat besar[8]. Adalah dikatakan Wan Ali telah dianugerahkan darjah kebesaran (Dato’ Orang Kaya Setia D’Raja) oleh DYMM Sultan Muhammad IV (1900 – 1920) yang memerintah Kelantan pada masa itu kerana telah meminjamkan sejumlah wang kepada kerajaan untuk membiayai pentadbiran negeri sewaktu negeri Kelantan dilanda musibah kerana ribut besar pada 13 November 1880[9]. Ekoran bencana itu, Kelantan menghadapi krisis kelaparan (1882) atau ‘tahun lapar’ kerana petani tidak dapat membajak sawah dan menanam kerana ternakan banyak mati akibat wabak penyakit pada 1881. Rakyat jelata pula diserang wabak penyakit seperti taun dan demam kura pada 1883 iaitu serentak dengan berlakunya letupan gunung berapi Krakatoa[10] di Indonesia. Kelantan ketika itu adalah di bawah pemerintahan Long Senik Mulut Merah yang bergelar Sultan Muhammad II (1838-86).

Insan Bijak
Melalui pergaulannya dengan orang dari berbilang kaum dan pelbagai lapisan masyarakat Wan Ali telah mengambil peluang menimba berbagai pengetahuan yang berfaedah lantran sikapnya yang terbuka dan sentiasa bersedia untuk memnpelajari apa saja yang berfaedah.
Daripada peniaga Cina beliau telah mempelajari cara mengira menggunakan sempoa, cara mengendalikan buku kira-kira keluar masuk wang syarikat dan teknik pertanian campur. Daripada para pembesar beliau mempelajari ilmu pendekar manakala dari para ulamak beliau mempelajari ilmu agama serta ilmu kebatinan[11]. Oleh hal yang demikian Wan Ali merupakan seorang insan yang istimewa dan terkenal serta disegani di kalangan orang tempatan.
Kebijaksanaannya telah meraih penghormatan dari beberapa pihak termasuk pihak istana. Misalnya, DYMM Sultan Muhammad IV pernah menitahkan Wan Ali supaya mengarang sebuah buku sejarah negeri Kelantan yang bertajuk Ringkasan Chetera Kelantan[12]. Nama beliau dicatatkan di halaman terakhir manuskrip tersebut dengan nama Wan Ali Pekan[13].

Peneroka
Wan Ali telah menjadi besan kepada Sultan Abdul Kadir Kamaruddin[14], Raja Pattani yang terakhir apabila anak perempuannya yang bernama Wan Mariam dijodohkan dengan anakanda sulung baginda Tengku Ahmad Zainal Abidin yang bergelar “Tengku Seri Akar D’Raja”. Dalam tahun 1890an Wan Ali telah menolong Tengku Ahmad Zainal Abidin membuka ladang getah yang besar di Mengkebang, Kuala Krai bagi pihak Bondanya Tengku Mariam Kembang Puteri[15]. Selepas kejayaan membuka ladang bagi pihak Tengku Mariam Kembang Puteri, Wan Ali bersama adik-adiknya Wan Abdullah dan Wan Abdul Samad serta seorang yang lain telah membuka sebuah ladang getah seluas 375 ekar di Kuala Nal[16]. Sehinga hari ini ladang ini masih dimiliki oleh Keluarga Wan Nuh.
Wan Ali juga telah berjaya meneroka teknik baru dalam pertanian khususnya cara mencantum benih supaya hasil buah-buahan lebih bermutu. Hasil tanaman Wan Sulaiman yang mendapat bimbingan dari Wan Ali selalu menang dalam pertandingan pertunjukan hasil pertanian[17].

Yakin Dengan Pendidikan
Seorang yang berpandangan jauh serta mempercayai nilai ilmu dan pendidikan serta penilaian beliau tentang perkembangan semasa, Wan Ali telah mengasaskan beberapa kemudahan persekolahan di Mukim Pekan, salah satunya sebuah sekolah rendah yang dikenali hari ini sebagai SRK Pasir Pekan.
Kemudahan persekolahan secara tradisional sebenarnya telah wujud di mukim Pekan sejak sebelum keluarga Wan Nuh tiba di mukim Pekan lagi. Telah wujud “Kelas Menadah Kitab” khususnya berhubung dengan pengetahuan tentang hukum agama Islam di sebuah surau lama yang terdapat di mukim Pekan. Sewaktu kedatangan Wan Nuh pengajian agama di surau itu di bawah kelolaan seorang ulamak yang dikenali sebagai Tok Khatib[18]. Selepas kematian Tok Khatib, tugas beliau telah diambil alih oleh Imam Wan Musa yang berasal dari Kampong Pauh Kumbang[19], Kutan. Imam Wan Musa adalah seorang ahli falak yang mahir, oleh itu tidak hairanlah beliau sering berutus surat dengan DYMM Raja Kelantan melaporkan perkara yang berkaitan dengan ilmu falak seperti kejadian gerhana bulan dan matahari[20].

Memandangkan terdapat ramai kanak-kanak di Mukim Pekan yang sudah baligh tidak tahu menulis dan membaca maka diadakan satu kelas permulaan di atas surau itu. Oleh itu tidak hairanlah jika penduduk mukim Pekan, khususnya keluarga Wan Nuh merupakan golongan yang boleh dianggap sebagai golongan bijak pandai pada masa itu kerana tahu menulis, mambaca dan mengira. Bahkan ada keluarga Wan Nuh yang mendapat pendidikan menengah di luar negara seperti Wan Muhammad bin Wan Ali bin Wan Nuh di Mesir[21].

Wan Ali sebagai seorang yang sering merantau ke Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, menyedari betapa peri pentingnya pendidikan barat didedahkan kepada anak watan mukim Pekan di samping pendidikan agama. Beliau membina sebuah bangunan mengandungi tiga bilik darjah yang berbentuk huruf T. Bangunan itu berdinding buluh dan beratap nipah terletak di sebelah belakang rusuk kanan surau itu dibina dengan bantuan penduduk mukim Pekan secara bergotong-royong.. Akibat pertambahan murid bangunan itu tidak mampu lagi menmpung bilangan pelajar yang bertambah, lalu Wan Ali telah mendirikan sekolah di atas tapak yang ada sekarang[22].

Berkat kepetahan bercakap, bijak bergaul serta pandai menilai keadaan semasa, Wan Ali berjaya menyakinkan para pemimpin mayarakat pada masa itu tentang kepentingan nilai pendidikan; dari itu tidak hairanlah usaha murni Wan Ali mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuklah Penggawa Wakaf Bharu pada masa itu, Tuan Haji Yusuf terutamanya dalam memberi kesedaran kepada para ibubapa di mukim Pekan tentang kepentingan pelajaran kepada anak-anak mereka[23].

Tiga orang guru iaitu cikgu Nik Abdullah, cikgu Haji Nik Ismail dan cikgu Nik Abdul Kadir telah mempelopori proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu sejak dari awal penubuhannya[24].

Sebilangan orang kenamaan telah memperolehi pelajaran asas dari sekolah itu antaranya Che Omar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Bharu dan Tan Sri Hussin bin Ahmad bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan[25].

Dari tahun 1926 hingga 1937 SRK Pasir Pekan yang ada pada hari ini adalah hanya dikenali sebagai sekolah rakyat yang dibiayai perjalanannya termasuklah membayar gaji guru oleh satu lembaga penggelola yang diketui oleh Wan Ali b Wan Nuh[26].

Walaupun sekolah itu tarafnya adalah sekolah rakyat, bukannya sekolah bantuan penuh kerajaan ianya bukanlah satu alasan sekolah itu terlepas dari pengawasan pihak Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan pada masa itu. Bahkan sekolah itu sering menerima lawatan dari pihak Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan[27]. Para pelajar sekolah itu juga sering terlibat dalam acara-acara olahraga yang dianjurkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan[28].

Pada tahun 1938, pentadbiran sekolah rakyat telah diserahkan kepada pihak kerajaan oleh pihak lembaga pengelola dan lembaga pengelola tidak lagi berkuasa ke atas pentadbiran sekolah rakyat itu. Selepas tarikh itu barulah SK Pasir Pekan yang ada pada hari ini ditubuhkan secara rasminya.
Selain daripada SK Pasir Pekan, Wan Ali juga telah mengambil insiatif menyediakan sebuah rumah wakaf di Mekah untuk kegunaan para jemaah haji dan penuntut Kelantan yang bermastautin di Mekah. Wan Ali juga telah merancang penubuhan sekolah menengah agama di Mukim Pekan.Hasrat beliau telah ditunaikan oleh anak saudaranya Wan Adam, lalu tertubuhlah SM Agama Falahiah di Kampong Baru Luar, Pekan[29].

(Foto SM Agama Falahiah yang kini ditukar kepada SMA Maahad Muhammadi (Perempuan) Pasir Pekan)
Wan Ali telah meninggal dunia pada tahun 1938 dengan meninggalkan banyak bakti yang berkekalan bagi penduduk di tanah watannya.

Rujukan
Abdul Razak Mahmud, Ikhtisar Sejarah Kelantan, Pustaka Aman Press, Kota Bharu: 2005)
Temubual


YM Tengku Muniratussaniah binti Tengku Ahmad Zainal Abidin (berkaca mata)
ketika menghadiri perjumpaan keluarga Wan Nuh pada 15 Oktober 2007 bersamaan 3 Syawal 1428H.

YM Tengku Muniratussaniah binti Tengku Ahmad Zainal Abidin
YM Tengku Muniratussaniah ialah anak kedua kepada pasangan Tengku Ahmad Zainal Abidin bin Tengku Abdul Kadir dan Wan Mariam binti Wan Ali. Beliau dilahirkan di Kampong Surau, Pekan pada 12hb Mei 1920. Apabila adindanya Tengku Mohani dilahirkan dan bondanya Wan Mariam telah uzur dan meninggal dunia setahun kemudian, Tengku Muniratussaniah telah membesar tampa ibu dan pengasuh, dan biasanya berdampingan dengan nendanya Tengku Mariam Kembang Puteri di rumah ibu dalam istana. Sejak dari kecil lagi, Tengku Muniratussaniah sentiasa gemar mencari ilmu, dalam pendidikan agama yang diberi di atas balai istana, beliaulah yang paling pintar dan cepat dalam semua mata pelajaran. Setelah mencapai umur tiga belas tahun, beliau beberapa kali telah khatam al Quran begitu juga pelajaran agama yang lain seperti ilmu tajwid, ilmu fekah dan ilmu hadith. Keadaan ini menyebabkan beliau merasa terkongkong lalu beliau menghadap ayahdanya dan merayu supaya beliau diizinkan menyambung pelajaran di sekolah Inggeris. Perbuatan beliau telah memberi peluang kepada enam lagi puteri Kelantan memperolehi pendidikan Inggeris. Pada tahun 1934 mereka telah dihantar ke Anglo Chinese School, Ipoh. Pada tahun 1940 Tengku Muniratussaniah telah menyambung pelajarannya ke Methodist Girls’ School di Pulau Pinang sehinnga meletusnya Perang Dunia Ke Dua. Setahun kemudian beliau melangsungkan perkahwinan dengan YM Tengku Ibrahim bin Tengku Mohammad “Tengku Seri Wak Raja”. YM Tengku Muniratussaniah adalah seorang yang berbakat seni. Selepas PDII, beliau telah mereka dan menjual kalong intan, melukis batik kain sarung, kain tudung dan sebagainya secara “Free Hand”. Beliau pernah dilantik sebagai pereka barang perak oleh pentadbiran British di Malay Handicraft Centre yang terletak di Jalan Istana Kota Lama. Dengan usaha-usaha kreatif ini, beliau dapat menyara tiga orang anak selaku seorang ibu tunggal. Dalam tahun-tahun 1950an hingga 1980an Beliau aktif dalam kegiatan kenasyarakatan dan amal jariah seperti Women’s Institute dan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim. Beliau telah membiayai pembinaan sebuah surau yang bernama Masjid as Saniah di Sungai Keladi, Kota Bharu pada tahun 2000 dan sebuah surau lain di Kampong Telipot pada tahun 2004..

Nik Yatimah @ Wan Yatimah binti Wan Jusuh @ Wan Yusuf,
Dilahirkan pada tahun 1920an di Kampong Surau, Pekan, merupan anak kedua dari tiga adik beradik dari pasangan Wan Zaharah binti Wan Ali bin Wan Nuh dan Wan Yusuf bin Wan Deraman.Mendapat pendidikan asas di Sekolah Rakyat sehingga tamat darjah enam. Telah ditawarkan jawatan guru tetapi menolak kerana lebih suka menolong ibunya di rumah.Beliau telah berkahwin dengan Wan Yaacob b. dari Kampong Palekbang.

Wan Mohamad Jamin bin Wan Mahmood,
Dilahirkan di Kampong Surau pada tahun 1940. Merupakan anak kepada pasangan Wan Mahmood bin Wan Abdullah bin Wan Nuh dan Wan Saidah binti Wan Ali bin Wan Nuh. Setelah mendapat pelajaran asas di SRK Pasir Pekan, menyambung pelajaran ke pringkat menengah di Madrasah al Falahiah sebelum ke Maahad Muhammadi.Merupakan graduan perundangan Universiti Islam Indonesia, melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti of London, England. Malangnya beliau tidak sempat menghabiskan pelajaran peringkat sarjananya kerana kesuntukan wang untuk membiayai pelajarannya di England. Sekembalinya ke Kelantan beliau telah bertugas sebagai guru di sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan.Beliau meletak jawatan sebagai guru kerana mahu bergiat cergas dalam bidang politik. Pada tahun 1991 beliau telah bertanding di Parlimen Tumpat dan menang bagi dua penggal berturut-turut.

Wan Zabedah binti Wan Abdul Samad,
Dilahirkan di Kampong Pasir pada tahun 1920an. Merupakan anak daripada pasangan Wan Abdul Samad bin Wan Nuh dan Wan Fatimah. Mendapat pendidikan asas di sekolah rakyat. Mendirikan rumah tangga dengan Wan Adam bin Wan Abdullah bin Wan Nuh pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Nik Salleh bin Nik Musa.
Dilahirtkan pada tahun 1920an, merupakan anak kepada pasangan Wan Aminah binti Wan Daud bin Wan Salleh dari Kampong Surau, Pekan dan Nik Musa bin Nik Yaacob dari Kampong Langgar Kota Bharu. Mendapat pelajaran asas di sekolah rakyat hingga tamat darjah enam. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Sultan Ismail College sehingga tamat tingkatan lima. Beliau kemudiannya menyertai Jabatan Kerja Raya Kelantan sebagi buruh biasa. Semasa berkhidmat dengan pihak JKR Kelantan beliau telah menduduki peperiksaan yang melayakkan beliau dilantik sebagai pelukis pelan di JKR Kelantan. Selepas bersara beliau telah menceburi bidang perniagaan sebagai pelukis pelan berlesen sehingga ke hari ini.

Wan Abdullah bin Wan Yusuf
Dilahirkan pada tahun 1929, di kampong Surau, Pekan. Beliau adalah anak kepada pasangan Wan Yusuf bin Wan Musa dan Wan Safiah binti Wan Abdullah bin Wan Nuh. Bapa dan datuk lelakinya adalah Imam Masjid Pasir Pekan. Mendapat pendidikan asas di SRK Pasir Pekan sebelum melanjutkan pelajaran di Mekah. Apabila pecah PDII, beliau terpaksa pulang ke Kelantan dari Mekah. Selepas menamatkan pelajaran menengahnya di Jamik Merbau, beliau bertugas sebagai guru di Madrasah Wataniah Machang.Beliau kemudian meletak jawatan sebagai guru kerana mahu berkerja di Ladang Kuala Geh.
Wan Mariam binti Wan Sulaiman.
Lahir pada tahun 1938, merupakan anak ke lima dari lapan orang adik beradik.Mendapat pendidikan asas di SRK Pasir Pekan sebelum menamatkan persekolahan menengahnya di Madrasah Naimlilbanat, Kota Bharu. Beliau kemudiannya bertugas sebagai guru di sebuah sekolah agama di Wakaf Bharu. Setelah berkahwin dengan Wan Abdullah bin Wan Yusuf pada usia 20 tahun, beliau telah meletak jawatan sebagai guru untuk menjadi surirumah sepenuh masa.
Tuan Haji Salleh b Mohd Akib
Bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Kelantan, beliau kini bertugas secara sambilan sebagai pegawai penyelidik di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

[1] Cerita lisan oleh Wan Jamin b Wan Mahmood…Ladang Kuala Nal dibuka sekitar tahun !900, pada masa itu umur Wan Ali dikatakan sekitar 50an.
[2] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman.
[3] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman
[4] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.
[5] Cerita lisan oleh Wan Yatimah bt Wan Yusof
[6] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin
[7] Malapetaka ini mula berlaku pada hari Jumaat 24 Disember dan mencapai puncaknya pada hari Ahad 26 Disember. Ia surut sepenuhnya pada 6 Januari 1927. Dinamakan ‘Bah Air Merah’ kerana pada waktu surutnya, air berubah warna menjadi kemerah-merahan. Keadaan ini dikatakan akibat dari runtuh dan pecahnya tanah bukit di ulu Sungai Kelantan.
[8] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.
[9] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.
[10] Kesan letupan gunung berapi Krakatoa telah mengakibatkan gelombang ombak Tsunami sehingga 35 meter tinggi dan memusnahkan atau merosakkan beberapa bandar dan 300 buah kampong di sekitar Selat Sunda iaitu di Pulau Jawa dan Sumatera. Sekurang-kurangnya 36,417 orang terkorban. Tidak dapat dipastikan sejauh mana Kelantan terkesan dari letupan Krakatoa itu dan apakah ribut besar yang dikatakan itu ada kaitan dengan Krakatoa.
[11] Perkara ini dapat dilihat dari buku cacatan Wan Ali. Buku itu kini dalam simpanan pihak Arkib Negara Malaysia.
[12] Sebenarnya yang dimaksudkan ialah Manuskrip ‘Hikayat Seri Kelantan’ yang kini tersimpan di Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Manuskrip ini mengandungi 105 halaman, 19 baris pada setiap halaman, berukuran 15.5 x 20.5 cm dan tulisannya terang. Satu kajian ilmiah berkenaan manuskrip ini telah dibuat oleh Mohd Taib Osman untuk ijazah M.A. dalam tahun 1960. Naskah asal manuskrip ini pernah disimpan oleh Haji Nik Mahmud Haji Wan Ismail iaitu Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja, Menteri Besar Kelantan 1920-1949. Lihat Dato’ Nik Mohamed bin Nik Mohd Saleh, Warisan Kelantan IX, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1990, hlm. 97,101. Rujuk juga Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah, Wan Ali Wan Nuh dan Penulisan Sejarah Negeri Kelantan, dlm. http://www.wannuh.com.
[13] Terdapat kekeliruan dalam identiti nama Wan Ali Pekan sebagai pengarang manuskrip ini apabila Nik Mohamed Nik Mohd Saleh mengandaikan Wan Ali Pekan sebagai Wan Ali Kutan. Sedangkan Wan Ali Kutan dikenali sebagai ulamak tersohor yang tidak pula pernah mengarang kitab yang berjudul Hikayat Seri Kelantan.
[14] Baginda dilucutkan dari takhta oleh Kerajaan Siam pada 1908. Putera bongsu baginda, Tengku Mahmood Mohyiddeen merupakan tokoh pejuang pembebasan Patani dan merupakan tokoh pentadbir yang banyak berjasa di Kelantan.
[15] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin…Wan Ali telah pergi ke Singapura, di Singapura Wan Ali telah membeli seguri biji getah dari Brazil dengan harga seguri emas.
[16] Geran Hak Milik Tanah Ladang Kuala Nal yang didaftarkan pada tahun 1938.Salinan geran ini kini tersimpan di Arkib Negara Malaysia
[17] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.
[18] Cerita lisan oleh Wan Yusof b Wan Idris, AJK Masjid Pasir Pekan.
[19] Cerita lisan oleh Wan Abdullah b Wan Yusof.
[20] Surat menyurat antara Wan Musa dapat dilihat dalam buku catatan surat keluar Wan Musa. Buku catatan itu kini ada tersimpan di Arkib Negara Malaysia.
[21] Ceria lisan oleh Wan Jamin b Wan Mahmood.
[22] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa.
[23] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa
[24] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa.
[25] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa
[26] Menurut rekod Bahagian Pembangunan Jabatan Pelajaran Kelantan, SK Pasir Pekan wujud secara resmi pada tahun 1938. Dalam kajian oleh Dato Salleh b Akib didapati tiada dalam rekod JPN kelantan menunjukkan SK Pasir Pekan ditubuhkan pada tahun 1920an .
[27] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa
[28] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa
[29] Cerita lisan oleh Wan Jamin b Wan Mahmood.
 Jasamu dikenang 8:00 PM

1 comment:

oghe said...
Artikel ini telah digunakan untuk menyokong usul dalam mesyuarat agong PIBG SK Pasir Pekan untuk menukar nama SK Pasir Pekan kepada SK Wan Ali pada mac 2008 yang lalu tetapi gagal kerana mendapat tentantgan dari AJK PIBG SK Pasir Pekan. Dari itu timbul persoalan dimanakah silapnya menyebabkan usaha itu gagal. Idea penukaran nama sekolah itu datangnya dari Tg. Muniratussaniah semasa penulis menenmubual beliau tentang riwayat hidup datuknya Wan Ali.Penulis telah menemui Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Kelantan Dato' Salleh untuk mencari bahan tentang Wan Ali kalau-kalau ada. Dalam pertemuan penulis dengan Dato' Salleh, penulis telah meminta pandangan beliau tentang kewajaran penukaran nama sekolah SK Pasir Pekan kepada SK Wan Ali, ternyata secara peribadi Dato' Salleh menyokong cadangan itu. Tg. Muniratussaniah kemudiaanya secara lisan telan menyatakan hasratnya kepada pihak Guru Besar iaitu Hajjah Samehah bt Che Omar dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Mas/Tumpat iaitu Encik Zahari b Daud dalam satu majlis makam malam anjuran PIBG SK Pasir Pekan, ternyata secara peribadi kedua mereka bersetuju dengan hasrat Tg. Muniratussaniah itu dan meminta Tg. Muniratussaniah menulis surat permohonan. Pertemuan kali kedua antara Tg. Muniratussaniah dengan pihak pentadbir sekolah telah diadakan di rumah Tg. Muniratussaniah, ternyata dalam pertemuan itu sekali lagi pihak sekolah bersetuju menimbangkan hasrat Tg. Muniratussaniah.Tg. Muniratussaniah kemudiannya telah menulis surat permohonan kepada YDP PIBG SK Pasir Pekan, namun pihak PIBG telaha mengambil sikap memmbisu. Sikap membisu YDP PIBG SK Pasir Pekan mengundang rasa tidak puas hati Tg. Muniratussaniah lalu meminta anaknya Dato' Tg. Idaura berunding dengan Pengarah Pelajaran Kelantan Encik Ismail b Mohd. Nor.Pehak Pengarah Pelajaran Kelantan pada dasarnya bersetuju, walaubagaimanapun pehak Tg. Muniratussaniah perlu mendapat persetujuan pihak PIBG terlebih dahulu. Terdapat khabar angin mengatakan AJK PIBG SK Pasir Pekan tidak bersetuju dengan idea Tg. Muniratussaniah, lalu Tg. Muniratussaniah meminta jasa baik Wan Jamin (bekas ahli Parlimen Tumpat), Wan Zakaria (bekas YDP PiBG SK Pasir Pekan) dan Wan Abdullah (bekas AJK Masjid Pasir Pekan) berunding dengan Haji Saufi YDP PIBG SK Pasir Pekan, ternyata Haji Saufi berdolak dalik. Wan Ali B Wan Sulaiman telah mengambil inisiatif baru dalam usaha merealisasikan hasrat Tg. Muniratussaniah, beliau telah menemui penulis, dan penulis mencadangkan agar satu usul tergempar diadakan dalam mesyuarat PIBG SK Pasir Pekan. Wan Ali dalam keadaan kesihatanya yang agak letih kerana masalah jantung telah berusaha berunding dengan pihak AJK PIBG SK Pasir Pekan, mencetak buku risalah kecil tentang riwayat hidup moyangnya Wan Ali, mengadakan upacara solat hajat di Masjid Pasir Pekan dan diikuti majlis jamuan kesyukuran di rumahnya, mengadakan jamuan makan tengah hari dengan pihak guru SK Pasir Pekan dan menaja makanan dan hamper untuk ibu bapa yang hadir dalam masyurat agong PIBG SK Pasir Pekan. Namun usaha Wan Ali itu ternyata sia-sia. Che Anas (Guru Besar SK Sri Kampong Laut dan isteri kepada YDP PIBG SK Pasir Pekan) telah menentang usul yang dibawa oeh penulis dan mendapat undi majoriti kaum ibu yang hadir. Di sisni timbul persoalah apakah yang sebenarnya berlaku? Apabila diselidiki rupa-rupan dalam masalah penukaran nama sekolah itu, keluarga Wan Nuh terbahagi kepada tiga, satu kumpulan mewnyokong, satu kumpulan lagi berkecuali dan satu kumpulan lagi menentang. Bagi kumpulan yang berkecuali meka melaihat usaha penukaran nama sekolah tak lebih dan tak kurang hanya untuk mencari populariti dan kalaulah menjadi akan hanya menghadiskan wang secara "sia-sia". Dalam kata lain usaha menukar nama sekolah hasilnya tidak berbalaoi dengan usaha yang dibuat. Paling menyedihkan kumpulan yang berkecuali ini terdiri dari Wan Abdullah (bekas AJK Masjid Pasir Pekan), Wan Jamin (bekas Ahli Parliman Tumpat) dan Wan Zakaria (bekas YDP PIBG SK Pasir Pekan), kata-0kata mereka saya tak seberapa (berminat) sudah cukup kuat untuk membingungkan orang lain. Kumpulan yang menentang terdiri dari kumpulan yang diketuai oleh Wan Yusof b Wan Abdul Samad , bagi Wan Yusoff (secara menyindir) beliau berminat menukar nama SK Pasir Pekan kepada SK Wan Abdul Samad. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam pertemuan yang dihadiri sama oleh YDP PIBG SK Pasir Pekan. Turut menentang penukaran nama SK Pasir Pekan kepada SK Wan Ali juga ialah Wan Noor Kamilah bt Wan Mohamad Nor, yang secara terang-terangan mencaci Tg. Muniratussaniah kerana kerana bagi beliau usaha menukar nama sekolah adalah kerja bodoh dan sia-sia walaupun pada hakikatnya beliau telah dilantik oleh Hajjah Samihan sebaagai penghubung antara pihak pentadbir SK Pasir Pekan dengan keluarga Wan Ali. Manakala bagi Haji Saufi dan isterinya Che Anas inilah masanya untuk mereka mengukuhkan kedudukan mereka di Mukim Pasir Pekan.
……………………………………………………………

Wan Jamil Wan Mahmood

Ustaz Haji Wan Jamil dalam Kenangan

(Haji Wan Jamil dari keturunan Wan Nuh melalui Wan Abdullah sebelah bapanya, Wan Mahmood manakala sebelah ibunya, Wan Saadah adalah keturunan Wan Nuh melalui Wan Ali).

Yang Dipertua PAS Tumpat, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood, 63 meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian kira-kira jam 1 pagi 28 Februari 2009.

Beliau dirawat di hospital berkenaan sejak lebih sebulan lalu akibat jangkitan kuman di bahagian buah pinggang.

Sebelum ini Allahyarham yang juga mantan anggota Parlimen Tumpat sudah beberapa kali dirawat di hospital tersebut sejak tahun lalu (2008).

Allahyarham mendapat pelajaran asas di SRK Pasir Pekan dan kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat menengah di Madrasah al Falahiah sebelum ke Maahad Muhammadi. Beliau merupakan graduan perundangan Universiti Islam Indonesia dan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti of London, England. Malangnya beliau tidak sempat menghabiskan pelajaran peringkat sarjananya kerana kesuntukan wang untuk membiayai pelajarannya di England. Sekembalinya ke Kelantan beliau telah bertugas sebagai guru di sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan. Beliau meletak jawatan sebagai guru kerana mahu bergiat cergas dalam bidang politik. Pada tahun 1991 beliau telah bertanding di Parlimen Tumpat dan menang bagi dua penggal berturut-turut. Selain itu beliau juga merupakan penyelia Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubur dan Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat serta bekas Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Arniwati Sabirin merupakan anggota jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kelantan. Isterinya berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia.


Setiausaha PAS Tumpat, Jamaluddin Ishak berkata, kematiannya merupakan kehilangan besar bagi PAS Tumpat dan Kelantan memandangkan Allahyarham merupakan seorang tokoh politik yang disegani kawan dan lawan.

“Malah kepimpinannya begitu menonjol ketika menjadi anggota parlimen Tumpat kerana aktif mengambil bahagian bagi menyuarakan masalah rakyat,” katanya.

Jenazahnya disembahyang di Masjid Pasir Pekan tidak jauh dari rumahnya. Ia diimamkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dan jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan kampung tersebut.

Artikel ini diolah dan dipetik dari Harakahdaily. Sebuah buku biografi Allahyarham Haji Wan Jamil sedang diusahakan oleh seorang penulis khas dari Kelantan
 Jasamu dikenang  11:28 PM

1 comment:

https://img2.blogblog.com/img/b16-rounded.gif
oghe said...
Orang yang menerima tanggungjawab menulis kisah hidup allahyarham Wan Jamin dari kaca mata para sahabat allahyarham ialah sahabat beliau iaitu Tuan Haji Hanafi @ Abang Awang seorang wartawan dan aktivis PAS yang kini bertugas secara kontrak dengan pihak ASTRO di bahagian berita (hal ehwal semasa)

Petikan Asal: jasamudikenang.blogspot.com