PERLADANGAN GETAH

Friday, October 10, 2008



LADANG TELUK KUALA NAL
Bermula pada sekitar tahun 1911 apabila Wan Ali b Wan Nuh telah menggunakan kemahiran yang diperolehinya sewaktu menolong Tengku Zainal Abidin b Tengku Abdul Kadir membuka ladang getah di Mengkebang, meneroka sebidang tanah yang terletak di Kampong Kuala Nal, Kuala Krai. Kampong Kuala Nal terletak berhampiran Kampong Kuala Hau, Temangan. Temangan pada masa itu adalah sebuah pekan kecil yang maju akibat dari kegiatan perlombongan bijih besi.
Pada peringkat awalnya Wan Ali telah dikurnialkan tanah seluas 1,000 ekar oleh DYMM Sultan Kelantan, tetapi oleh kerana kekangan belanja dan buruh Wan Ali yang dibantu oleh adik-beradiknya, Wan Abdullah dan Wan Abdul Samad, hanya berhasil mengusahakan seluas 375.389 ekar sahaja. Ladang ini diterokai sedikit demi sedikit dan mengambil masa yang panjang, bertahun-tahun bagi ditebas-tebang dan ditanam dengan getah.
Wan Ali memulakan usaha penerokaan tanahnya dengan menggunakan buruh para penduduk Kampong Kuala Nal. Wan Ali telah mengupah pekerjanya dengan bahan makanan seperti budu dan beras. Wan Ali juga membenarkan pekerjanya menanam padi huma di kawasan konsesinya dengan syarat mereka menolongnya menanam dan manjaga pertumbuhan biji getah kepunyaannya. Banyak diceritakan perihal kegigihan dan kecekalan anak-anak Wan Nuh dalam penerokaan tanah dan mengerjakan ladang getah di Ulu Kelantan ini. Mereka meninggalkan kampung halaman untuk memudik jauh masuk ke hulu dengan menggunakan perahu belalang dan galah panjang menyusuri sungai Kelantan dengan berbekalkan beras dan ikan kering. Melalui sungai ini, untuk sampai ke Kuala Nal sahaja memakan masa berminggu-minggu. Oleh kerana lama berada di hutan, mereka terpaksa berjimat dengan bekalan yang ada sehinggakan satu kepala ikan kering sudah cukup untuk dijadikan lauk untuk sepinggan nasi.
Pada 10 Jun 1935 ladang Teluk Kuala Nal berkeluasan 375.389 ekar ini telah mendapat Geran bernombor 2605 dengan Lot No. 123. Nombor Geran ini kemudiannya ditukarkan kepada No. 10999.
Terdapat beberapa kawasan yang mempunyai nama-nama tersendiri dalam ladang Teluk Kuala Nal ini iaitu Kawasan Lepan Pauh, Kawasan Era, Kawasan Ulu Hau, Kawasan Bukit Keting, Kawasan Tok Sejadi, Kawasan Bukit Teluk dan Kawasan Bukit Musang.
Tugas mentadbir ladang Kuala Nal dipertanggungjawabkan oleh Wan Ali ke atas adiknya Wan Abdullah b Wan Nuh. Wan Abdullah b Wan Nuh diceritakan sebagai seorang yang amat rajin berkerja sehingga tapak tangannya tidak dapat dibuka seperti orang lain kerana sebahagian salur darah dijarinya menjadi beku akibat terlalu lama memegang batang cangkul.







Pusara Wan Abdullah b. Wan Nuh di Tanah Perkuburan Besar, Kampung Surau, Pasir Pekan.
Selepas kematian Wan Abdullah b. Wan Nuh, tanggungjawab mentadbir ladang Kuala Nal diserahkan kepada anaknya Wan Sulaiman. Wan Sulaiman merupakan orang kepercayaan Wan Ali, Wan Ali telah mencurahkan kepadanya segala ilmu tentang bidang pertanian, kira-kira dan pentadbiran syarikat kepada Wan Sulaiman. Oleh itu tidak hairanlah jika Wan Sulaiman diberi kepercayaan oleh Wan Ali menjaga segala hartanya sepeninggalannya ke Mekah pada tahun 1927 kerana mengerjakan ibadah haji.
Selepas kematian Wan Sulaiman pengurusan ladang Kuala Nal terus cemerlang dibawah kepimpinan anaknya, Wan Musa. Sebagai seorang yang proaktif, Wan Musa sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang pertanian melalui siaran-siaran oleh pihak berkuasa juga menyertai seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa
Selepas Wan Musa, ladang Kuala Nal ditadbir oleh orang yang kurang pengetahuan tentang selok belok pertanian mahupun pentadbiran menyebabkan berlaku huru-hara dalam perjalanan pentadbiran ladang Kuala Nal. Keadaan terus gawat sehinggalah pentadbiran ladang Kuala Nal diambil alih oleh Wan Abdullah b Wan Safiah bt Wan Abdullah b Wan Nuh.
Wan Abdullah kemudiannya melantik Wan Mohd. Najib b Wan seorang graduan UiTM dalam bidang pengurusan ladang menguruskan ladang Kuala Nal. Di bawah pentadbiran Wan Abdullah, perjalanan lading Kuala Nal kembali normal seperti yang sepatutnya. Selepas Wan Mohd Najib meletakkan jawatan, pentadbiran ladang kembali kusut.
Pada tahun 1985 semua tanah-tanah di Kelantan diletak bawah pengawasan dan semakan Penyelesaian Tanah (Land Scheme) bagi menyemak kedudukan tanah, pemilik, geran dan sebagainya, termasuklah Ladang Kuala Nal itu sendiri.
Memandangkan nama-nama yang didaftar sebagai pemilik bagi ladang ini agak ramai dan agak merumitkan untuk pengurusannya, maka kesempatan dan peluang ini diambil dengan memohon kebenaran Penyelesaian Tanah (Land Scheme) atas alasan tidak ada kesefahaman dan pertelingkahan bagi mengurus dan mentadbir ladang ini dan cadangan itu dipersetujui. Dengan demikian ladang itu dipecahkan kepada beberapa lot seperti yang ada pada masa ini.
Pada tahun 1990 ladang ini dipecah pula kepada 2 bahagian iaitu bahagian yang dimiliki oleh keluarga Haji Wan Abdul Rahman dan adik-beradiknya manakala satu bahagian lagi dimiliki oleh ahli-ahli yang lain.
Pada masa proses pecahan ladang berjalan didapati lebih daripada separuh pokok-pokok getah yang ada sudah tua dan tidak berhasil lagi dan perlu ditanam semula.
Alhamdulillah, dengan dipecahnya sempadan ladang ini maka dengan sendirinya melayakkan bekas ladang ini memohon bantuan untuk ditanam semula di bawah bantuan RISDA. Pada masa permohonan ini dibuat pada tahun 1993, pilihan diberi oleh pihak RISDA sama ada ditanam semula dengan getah atau kelapa sawit. Oleh kerana pada masa itu kedudukan harga pasaran getah agak malap dan harga minyak kelapa sawit lebih menggalakkan, maka telah dipersetujui supaya ditanam dengan pokok kelapa sawit.
Wan Abdullah telah mengambil inisiatif memujuk anggota pakatan Kuala Nal untuk menyerahkan pentadbiran ladang Kuala Nal kepada pihak RISDA pada tahun 1995. Pihak RISDA telah mentadbir ladang Kuala Nal sehingga hari ini.
Selain daripada bekas Ladang Teluk Kuala Nal ada beberapa lot tanah kepunyaan ahli-ahli yang terletak di sempadan ladang tersebut yang dipersetujui untuk dimasukkan sama (lot-lot menumpang) ke dalam rancangan tanam semula sebagai satu kelompok
Ada satu lot (Lot no. 2735, Geran No. 24758) seluas 13.519 ekar yang terletak di tepi sungai di Kawasan Bukit Teluk dikekalkan dengan tanaman getah kerana pada masa permohonan tanam semula dibuat, pokok getah di lot tersebut masih muda dan masih dapat mengeluarkan hasil. Dengan demikian, lot tersebut dikekalkan dengan tanaman getah.
Ladang Teluk Kuala Nal ini juga tidak terkecuali dari diambil beberapa bahagian daripada tanahnya oleh Kerajaan untuk pembangunan prasarana atas kepentingan awam. Bermula pada tahun 1969, kerajaan telah mengambil seluas 10.660 ekar untuk membina jalan ke Kampung Kuala Nal. Seterusnya pada tahun 1980,6.087 ekar telah diambil untuk membina jalan masuk ke Era dan Ulu Hau. Pada tahun 1998 pula, kerajaan mengambil seluas 17.05 ekar untuk pembinaan Kawasan Penebatan Banjir yang melibatkan Lot 3605.



.