RUMAH WAKAF DI MEKAH

Sejarah Rumah Wakaf di Suleimaniah,
Makkah, Arab Saudi

Oleh Wan Zakaria b. Wan Sulaiman
Ketahuilah oleh sekalian anak cucu keturunan daripada datuk nenek kita yang bertiga beradik bahawa bahawa datuk nenek kita ada meninggalkan kepada kita sebuah rumah wakaf di bawah takrif Wakaf Khas di Kota Makkah Al-Mukarramah, Saudi Arabia bagi diwarisi turun-temurun dan dimanfaatkan semasa kita berada di Tanah Haram sama ada kerana menunaikan Haji, mengerjakan Umrah, menuntut ilmu atau sebagainya.
Untuk pengetahun dan makluman jua dengan ini dipaparkan sedikit sebanyak sejarah Rumah Wakaf tersebut sebagaimana berikut:


1. Muqadimah:

Ada diriwayatkan bahawa suatu ketika Allahyarham Tok Wan Ali benar-benar berniat (bernazar) hendak mewakafkan sebuah rumah sebagai Rumah Wakaf di kota Makkah. Boleh jadi hasrat atau ilham itu timbul oleh keranan pada masa itu sudah ada beberapa orang dari kalangan keluarga kita yang menuntut di kota Makkah dan pada hematnya mungkin Kota Makkah kelak akan menjadi tempat tumpuan oleh keluarga kita untuk menuntut ilmu. Harapan beliau mengadakan Rumah Wakaf ialah untuk memberi kemudahan bagi menarik minat dan menggalakkan anak cucu keturunannya pergi dan menuntut ilmu ke Makkah.

Hasrat yang tersirat tidak tercapai dan termakbul atau nazar tersebut tidak sempat disempurna dan ditunaikan sebelum beliau menghembus nafas terakhirnya oleh kerana wang yang disediakan untuk mengadakan Rumah Wakaf tersebut digunakan untuk membina surau di kampong surau, Pasir Pekan. Boleh jadi niatnya terubah dan terpinda oleh kerana terpengaruh dengan desakan dan suasana keadaan setempat yang benar-benar menghendaki kepada sebuah bangunan untuk surau pada masa itu. Oleh hal yang demikian wang yang ada digunakan untuk membina bangunan surau yang mana sekarang masih ada tertegak di samping bangunan masjid Pasir Pekan sekarang ini. Surau tersebut telah dibina kira-kira pada tahun 1926 iaitu selepas peristiwa yang bersejarah iaitu berlakunya banjir besar Bah Air Merah. 

Bangunan Surau lama Pasir Pekan yang dibina pada tahun 1926 menggunakan wang yang asalnya disediakan oleh Wan Ali untuk mengadakan rumah wakaf di Mekah .

Selain dari itu, bagi menguatkan bukti hasrat dan hajatnya sehingga ada diriwayatnya, kononnya ada salah seorang dari keluarga kita telah diberi mimpi bahawa beliau diperlihatkan dalam mimpinya jasad Allahyarham Tok Wan Ali terapung-apung di permukaan air di dalam sebuah sungai. Pada beliau, mimpi seperti itu agak luar biasa dan menjadi tanda tanya. Lalu diceritakan kepada seorang ulamak akan mimpi tersebut. Bila ditadbir oleh ulamak tersebut, beliau berpendapat mungkin ada sesuatu hasrat atau hajat yang begitu tinggi dan besar yang belum tercapai ataua belum dapat disempurnakan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Oleh hal yan demikian waris-waris sama-sama cuba mengingati atau menyingkap kembali dengan kisah-kisah atau peristiwa-peristiwa yang lalu. Justeru dari itu, maka terlintaslah bahawa mingkin, besar kemungkinan boleh jadi hasrat dan azam hendak mengadakan Rumah wakaf di kota Makkah yang tidak tercapai atau terkabul.

Apabila dipohon pendapat para alim-ulamak berhubung dengan hasrat atau azam tersebut sama ada patut disempurnakan atau tidak, pihak para alim ulamak berpendapat eloklah supaya disempurnakan supaya apa yang dihajat dan dihasratkan tercapai dan terkabul. Dengan hal yang demikian, waris-waris berasa bertanggung-jawab di atas hasrat atau azam beliau tersebut dan membuat keputusan akan menyempurnakannya.

Bagi menyempurna dan memenuhi hasrat dan azam tersebut, maka mahu tidak mahu mereka terpaksa berkorban khususnya dari aspek mengumpul sumber kewangan untuk membiayainya. Bagi mencapai tujuan tersebut mereka telah berjemak-kira dan bermuafakat di antara mereka sesama mereka, maka dengan sebulat suara bersetuju mana-mana yang mewarisi Kebun Teluk Kuala Nal menajanya dari hasil pendapatan bulanan Kebun Teluk Kuala Nal.


2. RUMAH WAKAF YANG PERTAMA:

Pada akhir tahun 1938, melalui Allahyarham Haji Wan Adam dengan dibantu oleh Pak Nik Zain telah dapat dibeli sebuah rumah 4 tingkat yang agak selesa. Rumah tersebut terletak di Qasyasiah, iaitu berhadapan dengan rumah Syeikh Ali Maliki, iaitu seorang guru yang terkenal di Masjidil Haram. Pada masa itu Allahyarham Haji Wan Adam baru sahaja berkahwin dengan Hajjah Rugayah. Setelah dibeli, Allahyarham Haji Wan Adam berpindah dan tinggal di situ. Pada Tahun 1940, beliau pulang ke tanah air.

Rumah tersebut tidak dapat bertahan lebih lama oleh kerana Kerajaan Saudi mengambil balik kawasan itu untuk dijadikan sebagai kawasan perdagangan. Oleh itu, kawasan itu diambil balik dan rumah-rumah di kawasan tersebut diruntuhkan. Pampasan dan ganti rugi diberi.

Urusan penerimaan wang pampasan dan gantirugi bagi rumah tersebut terpaksa diurus oleh Pak Nik Zain oleh kerana Allahyarham Haji Wan Adam berada di tanah air dan seterusnya mengikut peraturan dan undang-undang Kerajaan Saudi, seorang yang bukan kerakyatan (tidak mempunyai iqamah) tidak boleh menguruskannya, sama ada menerima bayaran pampasan dan gantirugi, membeli tanah atau rumah atau sebagainya. 


3. RUMAH WAKAF YANG KEDUA:

Dari wang pampasan dan ganti rugi tersebut, Pak Nik Zain membeli sebuah rumah yang terletak di kawasan di Suib Amir sebagai gantinya pada tahun 1956. Rumah tersebut tidak begitu selesa dan uzur. Tambahan pula didiami oleh satu keluarga Arab yang bermasaalah. Oleh hal yang demikian, pada tahun 1957, rumah tersebut dijual dengan harga SR35,000.00.

4. RUMAH WAKAF YANG KETIGA:
Dari wang jualan rumah yang kedua sebanyak SR35,000.00 pada tahun 1958 dibeli pula sebuah rumah yang terletak di Suleimaniah. Dengan terbelinya rumah ini, Allahyarham Haji Wan Adam minta jasa baik Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim supaya ,mengadakan geran dan mendaftarkannya dengan Kementerian Wakaf. Didapati begitu sekali susah dan rumit untuk menyediakan geran. Namun demikian, dengan daya usaha Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik sebagai nazirnya. 

Di dalam geran tersebut menyata dengan jelas bahawa rumah tersebut telah dibeli oleh Pak Nik Zain dan mewakafkannya balik untuk kepentingan dan dimanfaatkan oleh anak cucu kepada zuriat keturunan datuk nenek kita yang bertiga beradik. . Pak Nik Zain bersama-sama dengan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik sebagai nazirnya.

Apabila Allahyarham Haji Wan Adam meninggal pada 8 Julai 1957, semenjak dari tarikh tersebut urusan pengurusan Rumah Wakaf diambil alih oleh Allahyarham Haji Wan Sulaiman.
Pada peringkat awalnya rumah tersebut dibeli tidak boleh diduduki, oleh kerana tidak ada kemudahan bekalan api dan air disebabkan rumah itu tidak didaftar. Namun demikian rumah itu, diduduki oleh Tuan Haji Nik Mustapha dan Tuan Haji Ahmad Batu Tiga pada tahun 1958 atas persetujuan Hajjah Wan Hapsah dan Hajjah Nik Yatimah.

Pada tahun 1963 di atas daya usaha Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim maka geran bagi rumah disedia dan didaftarkan dengan Kementerian Wakaf Saudi. Justeru dari itu, api dan lain-lain kemudahan dapat diadakan dan setelah itu barulah Allahyarham Haji Wan Hassan berpindah dan tinggal di situ.


5. TAKRIF WAKAF KHAS:

Telah dimaktub dan dinyatakan dengan jelas di dalam geran (hujjah) siapa yang berhak menduduki dan menghuninya. Oleh hal yang demikian pada hemat kita dan pada lazimnya wakaf yang sedemikian rupa bolehlah ditakrif sebagai wakaf khas.
Salinan Geran Rumah Wakaf

6. HUBUNGAN NAZIR DENGAN WARIS DI SINI:

Semasa Allahyarham Haji Wan Adam masih ada, beliau telah mengambil inisiatif menghubungi Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim. Setelah beliau meninggal pada tahun 1957, Allahyarham Haji Wan Sulaiman mengambil alih tugas tersebut.

Mereka sentiasa menghubungi di antara mereka dari masa ke semasa. Hubungan tersebut tidak putus-putus dan bertali arus. Manakala Allahyarham Haji Wan Sulaiman meninggal pada tahun 1972, tugas tersebut tidak diambil alih oleh sesiapa. Maka terputuslah hubungan dan lenyaplah cerita Rumah Wakaf ini hampir 20 tahun.


7. MENCUNGKIL KEMBALI HAL RUMAH WAKAF:

Di akhir-akhir ini, atas daya usaha dan inisiatif yang diam bil dan dijalanakan sunguh-sungguh oleh:
Haji Wan Yusuf b. Haji Wan Abdul Samad
Haji Wan Idris b. Haji Wan Taib
Haji Wan Abdullah b. Haji Wan Yusoff
Haji Wan Musa b. Haji Wan Sulaiman
Haji Wan Mansor b. Haji Wan Sulaiman
Hajjah Wan Yatimah bt. Haji Wan Yusoff
Hajjah Wan Saidah bt. Haji Mohamed
Haji Wan Jamin b. Haji Wan Mahmood
Wan Zakaria b. Haji Wan Sulaiman
dapatlah dicungkil, dikembang dan subur kembali ingatan kepada Rumah Wakaf dan merintis jalan bagi menghubungi balik nazir dan anak-anak bekas nazirnya.


8. RUMAH WAKAF SEKARANG:

Rumah Wakaf tersebut terletak di Suleimaniah, Kota Makkah al-Mukarramah.