ARTIKEL


Asal Usul Kampong Surau, Mukim Pekan.

Oleh Wan Mohd. Hazim bin Wan Abdullah


Kampong Surau mendapat nama dari sebuah surau lama yang wujud semasa Wan Nuh Nakhoda al Haj tiba di Mukim Pekan lagi. Surau itu dikelolakan oleh seorang ulamak yang dikenali sebagai Raja Khatib[30]. Raja Khatib telah meninggal dunia dan dikuburkan di tanah perkuburan Pohon Tanjung [31].

Manakala Mukim Pekan mendapat nama kerana mengambil asalnya kawasan Kota Kubang Labu yang ditinggalkan terbiar oleh pemiliknya setelah kejatuhan kerajaan itu pada penghujung kurun ke 18[32]. Wan Ali Nakhoda al Haj menambah perkataan “supaya jadi” pada nama Pekan menjadi Pekan Supaya Jadi[33] sebagai seolah-olah doa bagi orang yang menyebutnya supaya mukim ini diberi kemakmuran oleh Allah dan terus berkembang maju.

Manakala Kampong Pasir Pekan mungkin timbul dari nama sebuah kampong di Mukim Pekan yang terletak di sepanjang tebing Sungai Kelantan yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai Kampong Pasir bersempena tanahnya yang berpasir[34], tetapi untuk mengelakkan kekeliruan dengan nama-nama lain seperti Pasir Mas, Pasir Puteh, Pasir Tumbuh, Pasir Tok Kambing maka timbullah nama Pasir Pekan.

Satu hal yang menarik ialah pada masa itu seolah-olah wujud dua pihak berkuasa yang berlainan iaitu keluarga Wan Nuh yang berhubung terus dengan pihak istana[35] dan pihak pentadbiran tempatan seperti Pegawai Daerah, Tok Nebeng , Tok Kweng, Penggawa dan Penghulu yang berada dibawah kawalan pentadbiran Penasihat British. Oleh itu dalam soal nama Mukim Pekan dan Mukim Pasir Pekan, bagi keluarga Wan Nuh nama yang digunakan dalam urusan surat menyurat ialah Mukim Pekan, ini dapat dilihat dari nama-nama seperti Syarikat Pekan Langgar Co. Ltd., Syarikat Pekan Jaya Sdn. Bhd. dan Pekan Supaya Jadi. Manakala pihak satu lagi nama yang digunakan ialah Mukim Pasir Pekan

Menurut satu cerita lisan, Mukim Pasir Pekan mendapat nama kerana pada zaman dahulu terdapat sederet kedai di atas tanah yang berpasir[36]. Sekiranya cerita lisan ini diambil kira, timbul persoalan dimanakah lokasi rumah kedai itu? Dan siapakah pula pemiliknya? Setakat maklumat yang ada deretan kedai itu ialah Gudang Sale yang dimiliki oleh keluarga Wan Nuh. Oleh itu timbulnya nama Pasir Pekan bukanlah kerana fakta sejarah tetapi kekeliruan tentang fakta.

Menurut sumber seorang pembaca laman ini, dikatakan bahawa sepatutnya Mukim Pekan berada di dalam jajahan Kota Bharu bukannya Tumpat memandangkan para penduduk Mukim Pekan, Palekbang dan Sungai Pinang mempunyai hubungan yang rapat dengan saudara mereka di Penambang.Cadangan ini telah dibantah oleh Che' Hak (Dato' Biji Wangsa) dengan alasan sekiranya Mukim Pekan, Palekbang ndan Sungai Pinag dimasukkan ke dalam jajahan Kota Bharu maka tiadalah sumber pendapatan bagi jajahan Tumpat.(cerita lisan olen Mohd. Salleh b Abdul Rahman, penduduk Mukim Sungai Pinang).

Gudang Syer

Gudang Syer[1]
Gudang ini mendapat nama SYER dari istilah bahasa Inggeris ‘SHARE” ertinya pakatan dan pelaburan. Perniagaan melalui Gudang Syer ini berasaskan kepada pakatan pelaburan dan usahasama keluarga Wan Ali dan adik-beradiknya yang menjual secara borong dan runcit barangan seperti beras, gula, garam, alat-alat membuat kain tenun seperti benang sutera, benang sturi dan sebagainya Gudang ini terletak di atas sebidang tanah seluas kira-kira 5 ekar di sebelah rusuk kiri kepala jambatan Sultan Yahya Petra dari arah Pasir Pekan ke Kota Bharu.Di atas tapak ini terdapat satu deretan kedai yang diberi sewa kepada orang lain dan satu tapak kedai yang diusahakan sendiri oleh keluarga Wan Nuh. Di situ juga terdapat satu tapak kilang papan bergergaji yang diusahakan oleh keluarga Wan Nuh.

Idea penubuhan gudang ini terbit apabila Wan Ali b Wan Nuh merasakan dirinya sudah tua dan dia sudah malas belayar lantaran mahu menumpukan perhatiannya kepada anak-anaknya yang kian membesar. Pada masa itu, Wan Ali mewakilkan urusan pembelian barangan seperti beras dan garam kepada pekerjanya yang sebelum ini dilakukan sendiri olehnya. Suatu hal yang menarik mengenai sikap Wan Ali ialah sekiranya dia sangsi dengan harga belian atau jualan barangan dagangannya dia akan bertanya khabar dengan rakan-rakannya yang biasa berniaga untuk mempastikan dia tidak ditipu oleh pekerjanya.

Tugas menyelia Gudang SYER ini dipertanggungjawabkan kepada Wan Abdul Samad b Wan Nuh, dan Wan Abdul Samad pula dibantu oleh seorang pengurus yang bernama Wan Ismail di samping Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh.

Selepas kematian Wan Ali b Wan Nuh, Tugas mentadbir gudang SYER dan kilang papan bergergaji dilakukan sepenuhnya oleh Wan Abdul Samad dengan dibantu oleh seorang pengurusnya yang bernama Wan Ismail serta Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh.

Perniagaan Gudang SYER dan kilang papan bergergaji semakin maju dan mendatangkan keuntungan yang lumayan bagi keluarga Wan Nuh sehingga Wan Abdul Samad b Wan Nuh yang dipertanggungjawabkan mentadbir gudang dan kilang itu dikatakan terlebih kaya dan mewah hidupnya berbanding dengan keluarganya yang lain.

Gudang SYER dan kilang papan bergergaji semakin mengecil apabila tanah tapak gudang dan kilang roboh sedikit demi sedikit setiap kali banjir akibat dihanyutkan oleh air. Gudang dan kilang ini ditutup secara resmi apabila tapak gudang dan kilang ini terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan kerana membina jambatan Sultan Yahya Petra.

Hasil wang pampasan ganti rugi tapak gudang dan kilang telah digunakan oleh keluarga Wan Nuh untuk membeli kilang papan bergergaji yang terletak di Tanjong Duff, Tumpat. Kilang ini ditadbir oleh Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan kemudiannya pengurusan kilang ini diambil alih oleh Wan Musa b Wan Sulaiman b Wan Abdulllah b Wan Nuh. 

Perniagaan kilang papan bergergaji keluarga Wan Nuh berakhir apabila kilang ini terlepas ke tangan Wan Mahmood b Wan dari Tanah Merah kerana kecuaian pihak keluarga Wan Nuh tidak menukar nama pemilik tapak kilang ini kepada nama mereka sebaik saja mereka membeli tapak kilang dari pemilik asal. Akibatnya apabila pemilik asal meninggal dunia datanglah warisnya datang menuntut hak mereka.

Rujukan
Hasil temubual dengan Wan Jamin b Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan NuhTengku Muniratussaniah bt Wan Mariam bt Wan Ali b Wan Nuh dan Wan Yatimah binti Wan Zahrah bt Wan Ali b Wan Nuh.


[1] Menurut Hajjah Che Habsah isteri kepada Hj. Wan Idris Wan Yunus, ejaan Gudang “SALE” tidak tepat.seperti yang dicatatkan dalam rencana sebelum ini. Sebenarnya ia dieja dengan ‘SYER’ ertinya pakatan dan pelaburan. Temubual oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah pada 2 Oktober 2008.

Perusahaan Kain Tenun




Perusahaan Kain Tenun
Oleh : Wan Mohd. Hazim b Wan Abdullah.
Perusahaan kain tenun merupakan asas kepada kegiatan perniagaan Keluarga Wan Nuh, sebelum daripada gudang SALE, kilang papan bergergaji serta perladangan getah di Kuala Nal kemudiannya Kuala Geh, Jabi dan Bukit Perah.Kain tenunan yang dikeluarkan oleh keluarga Wan Nuh ialah kain limar[1], kain songket dan kain melayoh[2].
Perusahaan kain tenun bermula dari Wan Nuh, dan kemudiannya dilanjutkan oleh anaknya Wan Ali.Semasa hayat Wan Nuh dan anaknya Wan Ali, mereka menjual kain tenun di negeri Perak[3].Selepas kematian Wan Ali perusahaan kain tenun tidak lagi menjadi keutamaan oleh kelurga Wan Nuh kerana mendatangkan kurang hasil berbanding dengan kegiatan perladangan dan gudang SALE.Kegiatan perusaan kain tenun dijalankan secara kecil-kecilan untuk memenuhi keperluan sendiri[4].
Wan Adam b Wan Abdullah b Wan Nuh dikatakan mengirimkan kain tenun buatan Wan Khadijah bt Wan Abu Bakar b Wan Leha bt Wan Nuh dan Nik Sofiah[5] kepada rakannya di Pulau Pinang. Rakannya di Pulau Pinangkemudiannya mengeksport ke Mekah di Arab Saudi. Dari Mekah, kain itu kemudiannya di bawa ke Istanbul, Turki[6].
Boleh dikatakan keseluruhan anggota keluarga perempuan Wan Nuh boleh menenun kain dan penenun terbaik ialah Wan Minah bt Wan Abu Bakar, isteri kepada Wan Ali b Wan Nuh.Wan Minah kemudiannya menurunkan kepakarannya kepada anak-anak perempuannya Wan Mariam bt Wan Ali b Wan Nuh, Wan Hafsah bt Wan Ali b Wan Nuh dan Wan Zaharah bt Wan Ali b Wan Nuh[7].
Wan Hafsah bt Wan Ali b Wan Nuh cuba menurunkan kepakarannya kepada anak perempuannya Wan Mariam bt Wan Sulaiman b Wan Abdullah b Wan Nuh tetapi kerana tidak berminat memandangkan kerja menenun adalah satu kerja yang rumit sedangkan upahnya adalah tidak seberapa, ilmu yang diperturunkan oleh ibunya telah tidak dipraktikkan oleh Wan Mariam bt Wan Sulaiman sehingga dia hilang kemahiran menenun kain yang ada padanya[8]. Sehingga kini Wan Mariam ada mewarisi koleksi kain tenun yang ditenun sama ada oleh datuk perempuan nya Wan Minah bt Wan Abu Bakar atau yang ditenun oleh ibunya Wan Hafsah bt Wan Ali b Wan Nuh.

[1] Sejenis kain yang dikatakan telah wujud sejak zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang lagi. Cara buatan kain tenun ini dikatakan lebih rumit dari cara buatan kain songket, pada masa kini kemahiran menenun kain jenis ini telah pupus di kalangan penenun di Pantai Timur SemenanjungMalaysia.
[2] Sejenis kain yang digunakan oleh wanita Arab sebagai Abaya dan lelaki Arab sebagai serban bergantung kepada sais dan corak kain.
[3] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman dan Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.
[4] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman
[5] Isteri kepada Wan Ahmad, bekas Imam Masjid Pasir Pekan.
[6] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman dan Wan Zabedah bt Wan Abdul Samad (balu Wan Adam b Wan Sulaiman).
[7] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman dan Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.
[8] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman

Perladangan Getah






.




LADANG TELUK KUALA NAL
Bermula pada sekitar tahun 1911 apabila Wan Ali b Wan Nuh telah menggunakan kemahiran yang diperolehinya sewaktu menolong Tengku Zainal Abidin b Tengku Abdul Kadir membuka ladang getah di Mengkebang, meneroka sebidang tanah yang terletak di Kampong Kuala Nal, Kuala Krai. Kampong Kuala Nal terletak berhampiran Kampong Kuala Hau, Temangan. Temangan pada masa itu adalah sebuah pekan kecil yang maju akibat dari kegiatan perlombongan bijih besi.
Pada peringkat awalnya Wan Ali telah dikurnialkan tanah seluas 1,000 ekar oleh DYMM Sultan Kelantan, tetapi oleh kerana kekangan belanja dan buruh Wan Ali yang dibantu oleh adik-beradiknya, Wan Abdullah dan Wan Abdul Samad, hanya berhasil mengusahakan seluas 375.389 ekar sahaja. Ladang ini diterokai sedikit demi sedikit dan mengambil masa yang panjang, bertahun-tahun bagi ditebas-tebang dan ditanam dengan getah.
Wan Ali memulakan usaha penerokaan tanahnya dengan menggunakan buruh para penduduk Kampong Kuala Nal. Wan Ali telah mengupah pekerjanya dengan bahan makanan seperti budu dan beras. Wan Ali juga membenarkan pekerjanya menanam padi huma di kawasan konsesinya dengan syarat mereka menolongnya menanam dan manjaga pertumbuhan biji getah kepunyaannya. Banyak diceritakan perihal kegigihan dan kecekalan anak-anak Wan Nuh dalam penerokaan tanah dan mengerjakan ladang getah di Ulu Kelantan ini. Mereka meninggalkan kampung halaman untuk memudik jauh masuk ke hulu dengan menggunakan perahu belalang dan galah panjang menyusuri sungai Kelantan dengan berbekalkan beras dan ikan kering. Melalui sungai ini, untuk sampai ke Kuala Nal sahaja memakan masa berminggu-minggu. Oleh kerana lama berada di hutan, mereka terpaksa berjimat dengan bekalan yang ada sehinggakan satu kepala ikan kering sudah cukup untuk dijadikan lauk untuk sepinggan nasi.
Pada 10 Jun 1935 ladang Teluk Kuala Nal berkeluasan 375.389 ekar ini telah mendapat Geran bernombor 2605 dengan Lot No. 123. Nombor Geran ini kemudiannya ditukarkan kepada No. 10999.
Terdapat beberapa kawasan yang mempunyai nama-nama tersendiri dalam ladang Teluk Kuala Nal ini iaitu Kawasan Lepan Pauh, Kawasan Era, Kawasan Ulu Hau, Kawasan Bukit Keting, Kawasan Tok Sejadi, Kawasan Bukit Teluk dan Kawasan Bukit Musang.
Tugas mentadbir ladang Kuala Nal dipertanggungjawabkan oleh Wan Ali ke atas adiknya Wan Abdullah b Wan Nuh. Wan Abdullah b Wan Nuh diceritakan sebagai seorang yang amat rajin berkerja sehingga tapak tangannya tidak dapat dibuka seperti orang lain kerana sebahagian salur darah dijarinya menjadi beku akibat terlalu lama memegang batang cangkul.







Pusara Wan Abdullah b. Wan Nuh di Tanah Perkuburan Besar, Kampung Surau, Pasir Pekan.
Selepas kematian Wan Abdullah b. Wan Nuh, tanggungjawab mentadbir ladang Kuala Nal diserahkan kepada anaknya Wan Sulaiman. Wan Sulaiman merupakan orang kepercayaan Wan Ali, Wan Ali telah mencurahkan kepadanya segala ilmu tentang bidang pertanian, kira-kira dan pentadbiran syarikat kepada Wan Sulaiman. Oleh itu tidak hairanlah jika Wan Sulaiman diberi kepercayaan oleh Wan Ali menjaga segala hartanya sepeninggalannya ke Mekah pada tahun 1927 kerana mengerjakan ibadah haji.
Selepas kematian Wan Sulaiman pengurusan ladang Kuala Nal terus cemerlang dibawah kepimpinan anaknya, Wan Musa. Sebagai seorang yang proaktif, Wan Musa sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang pertanian melalui siaran-siaran oleh pihak berkuasa juga menyertai seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa
Selepas Wan Musa, ladang Kuala Nal ditadbir oleh orang yang kurang pengetahuan tentang selok belok pertanian mahupun pentadbiran menyebabkan berlaku huru-hara dalam perjalanan pentadbiran ladang Kuala Nal. Keadaan terus gawat sehinggalah pentadbiran ladang Kuala Nal diambil alih oleh Wan Abdullah b Wan Safiah bt Wan Abdullah b Wan Nuh.
Wan Abdullah kemudiannya melantik Wan Mohd. Najib b Wan seorang graduan UiTM dalam bidang pengurusan ladang menguruskan ladang Kuala Nal. Di bawah pentadbiran Wan Abdullah, perjalanan lading Kuala Nal kembali normal seperti yang sepatutnya. Selepas Wan Mohd Najib meletakkan jawatan, pentadbiran ladang kembali kusut.
Pada tahun 1985 semua tanah-tanah di Kelantan diletak bawah pengawasan dan semakan Penyelesaian Tanah (Land Scheme) bagi menyemak kedudukan tanah, pemilik, geran dan sebagainya, termasuklah Ladang Kuala Nal itu sendiri.
Memandangkan nama-nama yang didaftar sebagai pemilik bagi ladang ini agak ramai dan agak merumitkan untuk pengurusannya, maka kesempatan dan peluang ini diambil dengan memohon kebenaran Penyelesaian Tanah (Land Scheme) atas alasan tidak ada kesefahaman dan pertelingkahan bagi mengurus dan mentadbir ladang ini dan cadangan itu dipersetujui. Dengan demikian ladang itu dipecahkan kepada beberapa lot seperti yang ada pada masa ini.
Pada tahun 1990 ladang ini dipecah pula kepada 2 bahagian iaitu bahagian yang dimiliki oleh keluarga Haji Wan Abdul Rahman dan adik-beradiknya manakala satu bahagian lagi dimiliki oleh ahli-ahli yang lain.
Pada masa proses pecahan ladang berjalan didapati lebih daripada separuh pokok-pokok getah yang ada sudah tua dan tidak berhasil lagi dan perlu ditanam semula.
Alhamdulillah, dengan dipecahnya sempadan ladang ini maka dengan sendirinya melayakkan bekas ladang ini memohon bantuan untuk ditanam semula di bawah bantuan RISDA. Pada masa permohonan ini dibuat pada tahun 1993, pilihan diberi oleh pihak RISDA sama ada ditanam semula dengan getah atau kelapa sawit. Oleh kerana pada masa itu kedudukan harga pasaran getah agak malap dan harga minyak kelapa sawit lebih menggalakkan, maka telah dipersetujui supaya ditanam dengan pokok kelapa sawit.
Wan Abdullah telah mengambil inisiatif memujuk anggota pakatan Kuala Nal untuk menyerahkan pentadbiran ladang Kuala Nal kepada pihak RISDA pada tahun 1995. Pihak RISDA telah mentadbir ladang Kuala Nal sehingga hari ini.
Selain daripada bekas Ladang Teluk Kuala Nal ada beberapa lot tanah kepunyaan ahli-ahli yang terletak di sempadan ladang tersebut yang dipersetujui untuk dimasukkan sama (lot-lot menumpang) ke dalam rancangan tanam semula sebagai satu kelompok
Ada satu lot (Lot no. 2735, Geran No. 24758) seluas 13.519 ekar yang terletak di tepi sungai di Kawasan Bukit Teluk dikekalkan dengan tanaman getah kerana pada masa permohonan tanam semula dibuat, pokok getah di lot tersebut masih muda dan masih dapat mengeluarkan hasil. Dengan demikian, lot tersebut dikekalkan dengan tanaman getah.
Ladang Teluk Kuala Nal ini juga tidak terkecuali dari diambil beberapa bahagian daripada tanahnya oleh Kerajaan untuk pembangunan prasarana atas kepentingan awam. Bermula pada tahun 1969, kerajaan telah mengambil seluas 10.660 ekar untuk membina jalan ke Kampung Kuala Nal. Seterusnya pada tahun 1980,6.087 ekar telah diambil untuk membina jalan masuk ke Era dan Ulu Hau. Pada tahun 1998 pula, kerajaan mengambil seluas 17.05 ekar untuk pembinaan Kawasan Penebatan Banjir yang melibatkan Lot 3605.

Wakaf Falahiah

Wakaf Falahiah.ً

Oleh Wan Mohd. Hazim bin Wan Abdullah


ًWakaf Falahiah ditubuhkan oleh Wan Sulaiman bin Wan Abdullah untuk digunakan sebagai dana untuk membantu kemajuan pelajaran agama di Mukim Pekan.

Dana Wakaf Falahiah diperolehi dari wang lebihan sumbangan orang ramai untuk membina bangunan Madrasah Falahiah dan sumbangan orang ramai menziarahi jenazah ibu mertuanya Wan Aminah binti Wan Abu Bakar dan jenazah anak perempuan sulungnya Wan Rahmah binti Wan Sulaiman.

Bagi memastikan dana Wakaf Falahiah diuruskan dengan betul menurut keperluan semasa,Wan Sulaiman telah melantik satu jawatan kuasa yang dipengerusikan oleh Nik Abdul Kadir bin Nik Mohamad dan Wan Abdullah bin Wan Yusoff sebagai setiausaha dan bendaharinya. Wan Sulaiman juga telah menulis satu surat wasiat bagi panduan jawatankuasa yang dilantik tatacara menguruskan dana Wakaf Falahiah.

Selepas kematian Wan Sulaiman, Wan Abdullah telah melantik anak Wan Sulaiman iaitu Wan Zakaria sebagai setiausaha Wakaf Falahiah. Pada masa kini harta dana Wakaf Falahiah terdiri dari sebidang tanah seluas seperempat ekar tanah yang didirikan sederet kedai selapis bangunan kayu di atasnya , seunit rumah kedai dua tingkat dan sejumlah 107saham mini estate Kuala Geh yang bersamaan 10 ekar tanah bertanam getah atau kelapa sawit. Pihak jawatankuasa melihat ada keperluan untuk mentadbir sendiri harta Wakaf Falahiah, justeru itu pehak jawatankuasa tidak menyerahkan pengurusan harta Wakaf Falahiah kepada pehak MAIK sebaliknya ditadbir sendiri oleh pihak jawatankuasa.

Pada masa kini pentadbiran harta Wakaf Falahiah yang merupakan sederet kedai selapis bangunan kayu dikuasai sepenuhnya oleh pihak bendahari iaitu Wan Zakaria bin Wan Sulaiman.Manakala sejumlah 107 saham dalam mini estate Kuala Geh yang merupa 10 ekar tanah bertanam sama ada getah atau kelapa sawit dan seunit rumah kedai dua tingkat dikuasai sepenuhnya oleh pihak bendahari iaitu Wan Abdullah bin Wan Yusoff. Keadaan ini berlaku apabila pihak setiausaha dan bendahari menukar nama atas geran tanah yang dikuasai mereka kepada nama mereka sendiri daripada nama Wan Sulaiman sebagai harta pesaka atas alasan untuk menyenangkan kerja-kerja pentadbiran.


Sekolah Diniah (foto kanan)

Pada awal penubuhannya dana Wakaf Falahiah digunakan untuk membiayai operasi Sekolah Diniah, Sekolah Diniah berperanan memberi pelajaran Fardu Ain serta pengajian al Quran kepada kanak-kanak Mukim Pekan. Apabila operasi Sekolah Diniah ditutup kerana ketiadaan pelajar pada tahun 1980an, bangunan Sekolah Diniah telah dijadikan pusat tahfiz al Quran yang bernama Darul-Quran Wal-Hadith oleh Ustaz Shaari bin Mustafa dari Jeli, Kelantan. Pada hari ini saebahagian besar operasi Darul-Quran Wal- Hadith dibiayai oleh dana Wakaf Falahiah.


Darul-Quran wal-hadith (bawah)




Balaisah (bawah)


Walaubagaimanapun terdapat secebis kisah bahawa Wan Zakaria (yang mengelolakan dana wakaf Falahiah) telah membiayai sepenuhnya pembinaan sebuah balaisah yang terletak di Kg. Dalam Kota, Pekan. Sehingga kehari ini, Wan Zakaria membiayai sepenuhnya operasi balaisah tersebut.

Tabung Amanah Keluarga

Tabung Amanah Keluarga
Kebun Teluk Kuala Nal

Oleh: Haji Wan Ali Wan Jaafar









Pengerusi (foto atas) dan Timbalan Pengerusi (foto bawah) Tabung Amanah Keluarga sedang menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Hari Raya, 3 Syawal 1428 lalu.



Tercetusnya idea untuk menubuhkan Tabung Amanah Keluarga Teluk Kuala Nal ialah dari perjumpaan Hari Raya Aidilfitri tahun 2004 di Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan.


Tujuannya adalah seperti berikut:-

1. Mengeratkan silaturrahim antara keluarga yang berjumpa setahun sekali di perjumpaan hari raya yang balik berhari raya dari luar Kelantan.

2. Membantu pelajar yang cemerlang dalam akademiknya untuk melanjutkan pelajaran. Bantuan ini bolehlah diberi dalam bentuk derma atau biasiswa.


Penerima anugerah kecemerlangan akademik bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa Tabung Keluarga di Majlis Perjumpaan Hari Raya, 16 Oktober 2007. Bantuan pelajaran turut diberikan kepada pelajar-pelajar yang terpilih. Gambar dan berita daripada Utusan Malaysia, 17 Oktober, 2007.

Pada awal tahun 2005, telah dibuat beberapa kajian bagaimana cara yang seeloknya dan pantas bagi penubuhan tabang ini. Satu formula yang boleh diterima pakai ialah menubuhkan tabung dengan Amanah Raya Berhad (ARB) yang tidak melibatkan agensi kerajaan yang lain, dan didaftarkan di bawah nama Haji Wan Yusoff Bin Haji Wan Abdul Samad sebagai ‘Penderma’ melalui Surat Ikatan Amanah ditandatangani 9 orang wakil keluarga dengan pihak Amanah Raya Berhad.

Setelah dikenal pasti Amanah Raya Berhad sebagai ‘bekas’ untuk menyimpan dana, maka mesyuarat pertama telah diadakan di Lot 131, Jalan Sebalik Sungai Pelong, Batu 16 Jalan Kuala Selangor iaitu di Kebun Y.M. Tengku Mohd Azzman Sharifadeen pada 16 September 2006 di mana seramai 50 orang ahli keluarga yang tinggal di sekitar Lembah Kelang turut hadir mendengar penerangan untuk menubuhkan Tabung Keluarga ini. Penerangan ini disusuli dengan perjumpaan di tempat yang sama pada 2 Disember 2006, di mana wakil Amanah Raya Berhad telah hadir sama memberi penerangan dari aspek praktikaliti termasuklah wang yang dilaburkan dalam ARB dan bagaimana tabung ini diuruskan oleh mereka. Semua yang hadir bersetuju Tabung ini ditubuhkan dan ada di antara yang hadir membawa wang untuk didermakan dan dimasukkan ke dalam Tabung ini.

Perjumpaan kali kedua pada 2 Disember 2006 lebih mesra di antara keluarga ini kerana mereka telah bertenu di perjumpaan pertama tambahan pula pada musim durian di kebun YM Tengku Mohd Azzman Sharifadeen. Ada yang membawa balik buah durian yang tidak habis dimakan di situ. Kalau tuan/puan berada di kebun pada hari itu dapat dilihat keakraban silaturrahim antara keluarga dan seketika kita lupa bahawa kita adalah tetamu kepada YM Tengku Azzman Sharifadeen, bekas Ketua Eksekutif MIMOS. Terima kasih Tengku.

Penubuhan ini terlaksana oleh kerana sokongan dan dorongan dua orang yang saya kira telah mengorbankan banyak masa dan wang ringgit untuk menjayakan Tabung ini, mereka ialah Haji Wan Yusoff Bin Wan Abdul Samad dan YM Tengku Mohd Azzman Sharifadeen. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan di mana Haji Wan Yusoff Bin Wan Abdul Samad dipilih sebagai Pengerusi dan saya diberikan tugas sebagai Setiausaha/Bendahari.

Kita telah menandatangani Surat Ikatan Amanah dengan Amanah Raya Berhad pada 10 April 2007 dan mulai tarikh tersebut sehingga kini kita dapat mengumpul wang sebanyak RM28,700 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Lapan Ribu Tujuh Ratus Sahaja) yang terdiri daripada Bayaran Zakat dan Derma Am.

Jawatankuasa Pertama Tabung Amanah adalah seperti berikut:-

1) Haji Wan Yusoff B. Wan Abdul Samad – Pengerusi
2) Y.M. Dato’ Tengku Mohd Azzman Sharifadeen – Timbalan Pengerusi
3) Haji Wan Abdullah B. Wan Yusoff
4) HAji Wan Muhammad B. Wan Taib
5) Haji Wan Zakaria B. Haji Wan Sulaiman
6) Professor Dr. Haji Wan Fuad B. Wan Hassan
7) Haji Wan Jamil B. Wan Mahmood
8) Haji Wan Mohamad Kamil B. Wan Mahmood
9) Haji Wan Ali B. Wan Jaafar – Setiausaha/Bendahari

Sekiranya berlaku kekosongan dalam Jawatankuasa ini, maka ahli yang lain akan memilih seorang pengganti selaras dengan kehendak peruntukan 5 dalam Surat Ikatan Amanah tersebut. Adalah menjadi harapan pengasas Tabung ini apabila wang tabungan mencecah RM 1 juta ianya ditukarkan kepada Yayasan dan ditadbir urus mengikut peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965, iaitu sebagai sebuah ‘Company limited by Guarantee and not having a share capital – Charitable and Non-Profit making organization’ dan mempunyai undang-undang tubuhnya sendiri.

Ahli Jawatankuasa Amanah yang nama-nama mereka dicatit di dalam Surat Ikatan Amanah yang ditandatangani dengan Amanah Raya Malaysia, tiga di antara mereka diamanahkan boleh membuat pengeluaran wang dari Tabung ini, tertakluk kepada kelulusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa. Buat masa ini tiga orang yang diberi kuasa tersebut ialah:-

1. Haji Wan Yusoff B. Wan Abdul Samad – Pengerusi
2. Haji Wan Ali B. Wan Jaafar – Setiausaha/Bendahari
3. Professor Dr. Haji Wan Fuad B. Wan Hassan

Sekiranya berlaku kekosongan, Ahli JAwatankuasa boleh membuat lantikan baru untuk menggantikannya.



Alamat surat menyurat Tabung Amanah ini adalah seperti berikut:-

1. Haji Wan Yusoff B. Wan Abdul Samad
1171, Jalan Hulu Pasar
15000 Kota Bharu
Kelantan
Tel: 09-74499737]019-9123737

2. Haji Wan Ali B. Wan Jaafar
No.4, Jalan SS 2/42
47300 Petaling Jaya
Selangor
Tel: 03-78760154/ 016-2265257
Fax: 03-51914200


Demikianlah secara ringkas mengenai penubuhan Tabung ini, semoga usaha murni dan niat ikhlas Ahli Jawatankuasa Amanah mendapat sokongan semua pihak, diberkati dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih